Lelaki ditahan secara paksa untuk saringan Covid-19

Seorang lelaki berusia 68 tahun ditahan di rumahnya di Taman Mutiara Sungai Bedaun, Bebuluh, Wilayah Persekutuan Labuan, untuk lakukan saringan ujian Covid-19.
Seorang lelaki berusia 68 tahun ditahan di rumahnya di Taman Mutiara Sungai Bedaun, Bebuluh, Wilayah Persekutuan Labuan, untuk lakukan saringan ujian Covid-19.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Akibat tidak memberi kerjasama untuk melakukan saringan Covid-19 secara sukarela, seorang lelaki ditahan di rumahnya di Taman Mutiara Sungai Bedaun, Bebuluh, Labuan, Sabah, semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, lelaki itu ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Labuan bersama pasukan perubatan Hospital Labuan mengikut peruntukan di bawah Seksyen 15(2) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi tujuan untuk melakukan saringan Covid-19 secara paksa, jam 4 petang.

Menurutnya, lelaki berusia 68 tahun itu sangat diperlukan untuk hadir ke Hospital Labuan bagi tujuan ujian saringan Covid-19 dan seterusnya menjalani sesi kuarantin.

"Ini disebabkan dia merupakan bapa (kontak pertama) kepada salah seorang ahli jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan di Sri Petaling.

"Lelaki itu disahkan sebagai kontak pertama hasil daripada siasatan yang telah dijalankan oleh pihak hospital kepada anaknya yang telah memaklumkan bahawa mereka tinggal serumah," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Muhamad Farid berkata, Selasa lalu, lelaki itu telah diarahkan hadir secara sukarela bagi menjalani ujian Covid-19 di Hospital Labuan, namun tidak mengendahkan sebarang arahan dan perintah terbabit.

"Lelaki itu telah diserahkan kepada pasukan perubatan untuk menjalani ujian Covid-19 dan seterusnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di Pusat Kuarantin Hospital Labuan," katanya.

Terdahulu, tular video dan gambar di media sosial membabitkan seorang lelaki ditangkap sepasukan polis dan pasukan perubatan.

Artikel Berkaitan: