Pembangkang wartakan tetapi mereka juga yang bantah - Kor Ming

PUTRAJAYA – Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyifatkan tindakan beberapa kerajaan negeri pembangkang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebagai bercanggah dengan pendirian mereka.
Beliau menegaskan, cadangan serta pewartaan tapak untuk PSB bukan ditentukan kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya datang daripada kerajaan negeri termasuk ditadbir pembangkang.
Menurut Kor Ming, setakat ini terdapat 534 kawasan di seluruh negara yang dikenal pasti bagi tujuan PSB, melibatkan negeri-negeri seperti Kedah, Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor dan Perak.
“Contohnya di Terengganu, sebanyak 22 tapak telah diwartakan sejak 2015 manakala Kedah pula mewartakan 55 tapak pada tahun 2018.
“Mereka yang cadang tetapi sekarang mereka pula yang bantah. Bagi saya ini pendekatan yang tak logik langsung,” katanya.
Menurutnya, tindakan menolak RUU PSB menampakkan wujudnya percanggahan jelas kerana kawasan yang digazetkan sendiri tidak dibangunkan walaupun sudah bertahun-tahun.
“Terengganu sudah wartakan draf pembangunan sejak 2015, Kedah pula sejak 2018. Tapi 10 tahun duduk diam, tak buat apa pun.
“Bila kita nak laksanakan, mereka bantah pula,” katanya.
Jelas beliau, sikap tidak konsisten itu hanya merugikan rakyat yang masih tinggal di bangunan usang dan daif tanpa sebarang perubahan.
Malah, Kor Ming turut membidas dakwaan pembangkang kononnya RUU tersebut memberi kuasa mutlak kepada menteri untuk merampas tanah.
“Dulu kerajaan guna Akta Pengambilan Tanah, terus ambil, terus rampas. Kini kita tidak ulang kesilapan itu. Sebaliknya kita lindungi hak pemilik asal dengan syarat persetujuan 80 peratus.
“Pembangkang yang kata dapat 80 peratus terus roboh, itu fitnah. Ambang 80 peratus hanya untuk mulakan rundingan,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menyelar tindakan pihak yang sengaja memainkan isu kaum dan agama untuk mengaburi tujuan sebenar RUU itu.
“Apabila saya ambil tanggungjawab nak bantu rakyat, mereka main sentimen kaum dan agama. Kalau nama saya tukar jadi Nga Ibrahim, anak saudara Anwar Ibrahim, isu ini mungkin dah tak wujud.
“Tolonglah, bersikap adil. Saya di sini nak tolong rakyat, bukan pemaju,” katanya.
Kor Ming turut mengingatkan, kerajaan Madani komited memastikan RUU PSB berjalan dengan prinsip keadilan, telus dan manusiawi.
“Rumah lama yang sempit akan diganti dengan unit lebih besar dan selesa. Pemilik juga kekal tinggal di kawasan asal, bukan dihalau keluar.
“Ini undang-undang paling tinggi di dunia dalam melindungi pemilik kerana hanya selepas 80 peratus setuju, barulah proses rundingan boleh dimulakan,” katanya.
Kor Ming berharap semua pihak tidak mempolitikkan isu RUU PSB kerana ia menyentuh kepentingan rakyat yang sudah lama menanggung beban tinggal di flat usang.
“Saya mohon jangan halang kerajaan membantu rakyat. Rasai keperitan hidup mereka yang terpaksa panjat tangga 30 tingkat sebab lif rosak, duduk di rumah bocor dan retak. Itu realiti yang kita nak selesaikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

