122 warga asing ditahan, ketulenan pasport diragui

Sejumlah 214 individu termasuk warganegara tempatan diperiksa.
Sejumlah 214 individu termasuk warganegara tempatan diperiksa.
A
A
A

PADANG SERAI – Seramai 122 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam satu Operasi Mahir di Kawasan Industri Padang Meha di sini pada Rabu.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, operasi dijalankan Bahagian Penguatkuasaan itu dilakukan hasil risikan serta aduan yang diterima pihaknya.

“Daripada 214 individu yang diperiksa termasuk warganegara tempatan, seramai 122 orang terdiri daripada 121 lelaki dan seorang wanita berusia antara 22 hingga 56 tahun ditahan.

“Kesemua mereka merupakan warga asing dibawa ke Depot Imigresen Belantik bagi siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati hanya sebahagian kecil pasport berjaya ditemui, manakala baki dokumen lain gagal dikemukakan pihak pengurusan syarikat.

“Cap keselamatan pada kebanyakan pasport menimbulkan keraguan dari segi ketulenan dan memerlukan semakan lanjut melalui sistem imigresen.

"Tiga naskhah pasport pula didapati mengandungi maklumat yang perlu disahkan ketulenannya,” katanya.

Selain itu, Mohd Ridzzuan berkata, pihaknya turut mengesan ketiadaan Letter of Agreement (LOA) antara syarikat pembinaan terbabit dengan syarikat pembekal pekerja, manakala Permit Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang dimiliki hanya sah bagi syarikat berdaftar di Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan:

Sejumlah 214 individu termasuk warganegara tempatan diperiksa.
Sejumlah 214 individu termasuk warganegara tempatan diperiksa.

Lebih membimbangkan katanya, syarikat berkenaan juga gagal menyimpan dokumentasi pekerja di pejabat sumber manusia untuk tujuan pengesahan.

“JIM Kedah turut mendapati rekod perjalanan pemegang pasport dalam sistem Malaysia Digital Arrival Card (MDAC) hanya memaparkan cap keluar dan masuk tanpa butiran destinasi malah, ada individu cuba melarikan diri ketika operasi dijalankan,” katanya.

Beliau menegaskan, siasatan menyeluruh akan diteruskan merangkumi pengesahan ketulenan pasport, semakan rekod perjalanan dan hubungan antara majikan serta pekerja.

“Tiada kompromi akan diberikan terhadap pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin.

"Semua majikan diingatkan agar memastikan pekerja asing yang diambil memiliki dokumen sah dan mematuhi syarat undang-undang imigresen.

“Operasi penguatkuasaan juga akan terus dipertingkatkan, terutama di lokasi tumpuan dan kawasan panas yang dikenal pasti,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!