Selepas 11 tahun, gerakan #QuranHour bakal cipta sejarah

Malaysia #QuranHour 2025 edisi ke-11 dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa', berpandukan Surah Al-Saff, Ali 'Imran dan Al-Balad berlangsung di lokasi perdana, Masjid Negara pada Sabtu.
Malaysia #QuranHour 2025 edisi ke-11 dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa', berpandukan Surah Al-Saff, Ali 'Imran dan Al-Balad berlangsung di lokasi perdana, Masjid Negara pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Selepas 11 tahun penganjuran Malaysia #QuranHour, kempen mencintai al-Quran itu melakar sejarah tersendiri apabila mendapat perhatian untuk diangkat sebagai produk pelancongan negara dan dimasukkan dalam kalendar rasmi acara tahunan Melawat Malaysia.

Langkah itu bukan sekadar mengiktiraf nilai spiritual dan sosial program berkenaan, malah membuka ruang baharu dalam mempromosikan pelancongan Islamik yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Komitmen tersebut dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan bahawa cadangan berkenaan akan dibawa ke peringkat Kabinet untuk dipertimbangkan sebagai sebahagian daripada usaha memperluas agenda pelancongan negara.

Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, beliau berbesar hati terhadap komitmen tersebut.

Malah, beliau mencadangkan agar World #QuranHour diangkat dan disesuaikan dalam konteks mempromosikan pelancongan Islamik.

“Macam sekarang pun, Malaysia #QuranHour ini sudah dijadikan sebagai sebahagian daripada acara Merdeka. Jadi, kalau nak dibawa ke peringkat tinggi sebagai produk pelancongan, saya kira ini lebih baik.

“Cuma World #QuranHour itu lebih sesuai untuk produk pelancongan sebab ia bersifat mendunia,” katanya pada Sabtu.

Beliau menjelaskan, selaku penganjur, pasukan WUIF yang bernaung di bawah Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd sentiasa bersedia untuk sebarang pelaksanaan program tersebut.

“Kita bersedia pada bila-bila masa. Kita dah laksanakan program ini selama 11 tahun kerana yang penting ialah isi kandungannya.

Artikel Berkaitan:

“Jadi, pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kita dah bersedia dengan kandungan dan lain-lain... hanya tunggu untuk dilaksanakan sahaja,” ujar beliau.

Terdahulu, berlangsung Malaysia #QuranHour 2025 untuk edisi ke-11 dengan tema 'Merdeka Dengan Rasa' berpandukan Surah Al-Saff, Ali 'Imran dan Al-Balad, selama satu jam di lokasi perdana, Masjid Negara dan turut diadakan serentak di seluruh negara di lokasi-lokasi terpilih.

Acara bersempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 itu mendapat sokongan penuh kerajaan, dengan kehadiran Ahmad Zahid serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar bersama isteri, duta-duta, mufti-mufti, ketua jabatan dan pencinta al-Quran.

Program Malaysia #QuranHour 2025 ini juga dijadikan sebahagian daripada program sisipan dalam Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan Malaysia 2025.

Kehadiran dan sokongan yang diterima menzahirkan komitmen kerajaan dan masyarakat dalam usaha membumikan al-Quran sebagai panduan hidup rakyat Malaysia.

Kehadiran pemimpin negara dan rakyat dalam program berkenaan juga memberi mesej jelas bahawa misi al-Quran tidak akan terhenti.

Ia membawa mesej bahawa melalui suara pemimpin, pembina dasar, penjawat awam dan rakyat yang berpadu, Malaysia mampu membina sebuah negara Madani yang berakhlak luhur, berempati tinggi dan dipandu wahyu.

Malaysia #QuranHour 2025 juga mengajak seluruh lapisan masyarakat daripada pemimpin, pembina dasar, penjawat awam hingga rakyat untuk menjiwai rasa empati seperti yang dicontohkan oleh para khalifah terdahulu.

Hussamuddin
Hussamuddin

Sehubungan itu, Hussamuddin turut melancarkan Kempen Beras dan Quran, sebuah inisiatif membumikan seruan Surah Al-Balad melalui tindakan nyata atau sebagai ‘Call to Action’ bagi menjayakan tema tersebut.

Sebanyak 1,200 kampit beras diagihkan kepada keluarga yang tidak berkemampuan dengan tema Daripada Keluarga untuk Keluarga.

Ia juga merupakan terjemahan nilai Ahassa iaitu sensitiviti yang mendorong tindakan terhadap empat golongan lemah yang perlu dibela iaitu golongan yang terbelenggu, memberi makan kepada yang memerlukan, anak yatim dan fakir miskin, selaras dengan tema Hari Kemerdekaan Malaysia ke-68 'Keluarga Madani, Rakyat Disantuni'.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berharap penerapan nilai-nilai al-Quran melalui tiga surah pilihan yang dijadikan panduan, dapat mengembalikan ‘rasa’ iaitu nilai kasih sayang, cinta dan perasaan mengambil berat sesama manusia.

“Di akhir-akhir ini, kita lihat bukan hanya negara kita, malah seluruh dunia, masyarakat berada dalam kemarahan, perkara kecil diperbesarkan.

“Dalam konteks merdeka, kalau kita tiada rasa, tidak berguna. Jadi, rasa itu penting... saya berharap kempen kita sama ada World #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan My #QuranTime berlaku di setiap rumah.

“Setiap rumah menjadi penganjur. Jadi, setiap tahun, satu jam, sekeluarga duduk, berhenti buat kerja lain dan berinteraksi dengan al-Quran,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!