Rumah Ngaji Kedah sasar tarik belia sertai Malaysia #QuranHour

Alunan ayat-ayat suci surah Al-Saff, Al-Balad dan Ali Imran bergema di Masjid Sultanah Bahiyah.
Alunan ayat-ayat suci surah Al-Saff, Al-Balad dan Ali Imran bergema di Masjid Sultanah Bahiyah.
A
A
A

ALOR SETAR - Semangat kemerdekaan disemarakkan dengan cara berbeza apabila lebih 60 peserta berhimpun di Masjid Sultanah Bahiyah di sini untuk memeriahkan Program Malaysia #QuranHour.

Penolong Penyelaras Rumah Ngaji Kedah, Rosiah Ramli berkata, penganjuran itu bukan sahaja menyatukan masyarakat menerusi bacaan al-Quran, malah membawa erti kemerdekaan sebenar dengan membebaskan diri daripada elemen tidak baik.

Program yang menekankan penghayatan surah Al-Saff, Al-Balad dan Ali Imran itu dianjurkan secara serentak di seluruh negeri berkonsepkan semarak merdeka menerusi al-Quran.

“Ia sesuatu yang berbeza dan mengingatkan kita bahawa erti merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga membebaskan jiwa daripada perkara negatif,” katanya ketika ditemui selepas berakhirnya program Malaysia #QuranHour di Masjid Sultanah Bahiyah, pada Sabtu.

Rosiah berkata, selain membaca surah terpilih, pengisian tambahan diadakan dengan mengadakan majlis khatam Quran dan tahlil untuk mendekatkan lagi jiwa merdeka dengan elemen kerohanian.

“Program Malaysia #QuranHour bertemakan ‘Merdeka Dengan Rasa’ itu dipimpin Imam Masjid Al-Bukhary, Ustaz Hanif Zainal Abidin, sementara majlis khatam Quran dan tahlil diketuai oleh Ustazah Hafizah Awang.

“Sambutan saban tahun semakin meriah dengan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat umur, namun kami berhasrat untuk menarik lebih ramai golongan belia pada masa akan datang,” ujarnya.

Tambahnya, Rumah Ngaji Kedah berhasrat untuk menarik penyertaan anak muda, supaya mesej yang cuba disampaikan dapat dirasai golongan belia yang kini berdepan pelbagai cabaran.

“Mungkin kita akan sarankan ibu-ibu agar membawa anak bersama, dengan pendekatan santai yang dekat dengan jiwa belia,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Rosiah berkata, Rumah Ngaji Kedah kini juga dalam perancangan untuk mewujudkan Rumah Ngaji di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kompleks Hijau Kuning melibatkan hampir 2,000 penduduk.

“Semoga program yang dicadangkan pada Oktober depan akan mendapat sambutan, kita akan adakan tiga fasa membabitkan wanita, kanak-kanak dan belia,” ujarnya.

Sementara, Hafizah, 64, tidak pernah ketinggalan menyertai program berkenaan saban tahun kerana banyak manfaat dapat diperolehi.

Lebih 60 peserta mengimarahkan program Malaysia#QuranHour di Masjid Sultanah Bahiyah pada Sabtu.
Lebih 60 peserta mengimarahkan program Malaysia#QuranHour di Masjid Sultanah Bahiyah pada Sabtu.

“Ilmu yang dikongsi sangat bermanfaat. Tahun ini lebih meriah dengan pelbagai pengisian. Saya harap anak muda turut mengambil peranan, kerana program sebegini boleh dihadiri seisi keluarga dan dijadikan medan santai mendekati al-Quran,” katanya.

Selain Masjid Sultanah Bahiyah sebagai lokasi utama penganjuran Malaysia #QuranHour 2025, beberapa masjid, perpustakaan desa dan premis perniagaan terpilih turut menjayakan program tersebut dengan anggaran 300 peserta serentak di seluruh negeri.

Rumah Ngaji Kedah menganjurkan program Malaysia#QuranHour sekurang-kurangnya tiga kali setahun secara besar-besaran, iaitu pada Ramadan, Hari Kebangsaan dan sambutan tahun baharu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!