Rumah Ngaji angkat Al-Saff satu padukan masyarakat

KAMPAR – Menyatupadukan masyarakat menjadi hasrat Rumah Ngaji Halaqah Mukminah sebagai usaha menghayati iktibar daripada surah Al-Saff yang diturunkan ALLAH SWT.
Penggerak Rumah Ngaji Halaqah Mukminah, Rashidah Mohd Ali berkata, sejak ditubuhkan 15 tahun lalu, pelbagai aktiviti dan program digerakkan oleh Rumah Ngaji berkenaan bersama masyarakat setempat.
Menurutnya, setiap bulan terdapat lapan program pengajian yang dilaksanakan di Rumah Ngaji tersebut.
“Keahlian kami di sini seramai 60 orang, tetapi kehadiran bagi setiap program dan pengajian yang diadakan melebihi jumlah tersebut.
“Alhamdulillah, kami mendapat sokongan daripada masyarakat setempat yang kami satukan demi al-Quran,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian sempena Program Malaysia #QuranHour di Rumah Ngaji Halaqah Mukminah di sini.
Rashidah berkata, lebih unik lagi, Rumah Ngaji berkenaan mempunyai kumpulan marhaban sendiri yang sering mendapat jemputan untuk membuat persembahan pada majlis-majlis keraian.
Menurutnya, kumpulan marhaban tersebut secara tidak langsung mempromosikan Rumah Ngaji selain menambah aktiviti ahli yang kebanyakannya terdiri daripada warga emas.
Terdahulu, Program Malaysia #QuranHour dimulakan dengan bacaan Surah al-Saff dan al-Balad sebelum sesi tadabbur disampaikan oleh tenaga pengajar Rumah Ngaji, Ustaz Ahmad Awang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

