KL Eye Specialist Centre buka Rumah Ngaji

KUALA LUMPUR – Pesakit kini bukan sahaja boleh mendapatkan rawatan mata berasaskan perubatan moden, malah turut berpeluang mendekatkan diri kepada al-Quran melalui penubuhan Rumah Ngaji@KL Eye Specialist Centre (KLESC) di Taman Melawati.
Inisiatif ini dilancarkan bagi mengimbangi rawatan fizikal dan rohani, selaras dengan komitmen KLESC untuk menyediakan perkhidmatan menyeluruh berlandaskan keberkatan dan nilai keinsanan.
Menurut Pakar Perunding Oftalmologi dan Pakar Medikal Retina, Dr Nor’ain Mohd Rawi, penubuhan Rumah Ngaji merupakan sebahagian daripada usaha membawa elemen pengisian jiwa kepada pesakit dan keluarga yang hadir ke klinik.
“Ramai pesakit datang dengan pelbagai ujian. Jadi, sementara menunggu rawatan, mereka boleh menyertai sesi bacaan al-Quran sebagai terapi rohani,” katanya ketika ditemui selepas pelancaran Rumah Ngaji@KL Eye Specialist Centre (KLESC) di Taman Melawati di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Ketua Pegawai Penyelidik WUIF, Fazrul Ismail.
Program Rumah Ngaji di KLESC akan diadakan setiap hari Rabu dari jam 9.30 pagi hingga 10.30 pagi secara percuma, dan terbuka kepada pesakit, waris serta penduduk sekitar Taman Melawati.

“Walaupun kami berpandukan kaedah perubatan moden berasaskan bukti (evidence-based medicine), kami percaya penyembuhan sebenar datang daripada ALLAH. Usaha perubatan hanyalah satu bentuk ikhtiar,” jelas beliau.
KLESC Taman Melawati merupakan cawangan kedua selepas pusat pertamanya di Kepong yang telah beroperasi sejak 16 tahun lalu. Cawangan ketiga dijangka dibuka di Klang dalam masa terdekat.
Klinik tersebut dilengkapi dengan fasiliti lengkap termasuk bilik pembedahan, makmal diagnostik, peralatan imbasan berteknologi tinggi serta pasukan perubatan pakar dalam bidang retina, kornea, glaukoma dan oftalmologi kanak-kanak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, pelaksanaan Rumah Ngaji@KLESC adalah yang pertama di bawah misi Al-Saff Wellness, dan bakal menjadi model kepada pengembangan program serupa di institusi kesihatan lain.
Menurut beliau, inspirasi penubuhan Rumah Ngaji tersebut turut mengambil iktibar daripada kisah Nabi Yaakub AS yang kehilangan penglihatan sebelum matanya dipulihkan melalui keberkatan doa dan ayat al-Quran dalam Surah Yusuf.
“Ini adalah bukti bahawa al-Quran bukan sahaja memberi petunjuk, malah menjadi harapan dan penyembuh,” ujarnya.
Maklumat lanjut boleh diperoleh di laman sesawang: www.kleyecentre.com.my
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

