Anak kecil mangsa nafsu jijik manusia berhati syatitan

M Kumar melihat dokumen kelahiran bayi dan barangan yang dirampas daripada sindiket pedofilia pada sidang akhbar di IPK Johor pada Jumaat.
M Kumar melihat dokumen kelahiran bayi dan barangan yang dirampas daripada sindiket pedofilia pada sidang akhbar di IPK Johor pada Jumaat.
A
A
A

SATU pendedahan mengejutkan pada Jumaat apabila polis berjaya menumpaskan sebuah sindiket pedofilia yang mengeksploitasi bayi dan kanak-kanak sebagai bahan video lucah.

Kes terbabit mendedahkan betapa rakusnya nafsu manusia sehingga sanggup memperdagangkan maruah anak kecil yang langsung tidak berdaya.

Hasil operasi khas polis dari 19 Julai hingga 19 Ogos lalu berjaya membongkar kegiatan terkutuk tersebut hingga membawa kepada penahanan seorang juruteknik lelaki tempatan berusia 29 tahun di Johor Bahru sebelum penangkapan 10 individu lain dalam beberapa siri serbuan di Johor Bahru, Selangor dan Pulau Pinang.

Apa yang memilukan, tiga kanak-kanak perempuan dan dua bayi lelaki berusia antara dua bulan hingga lima tahun dikhuatiri menjadi mangsa kerakusan sindiket tersebut sebelum berjaya diselamatkan polis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar memberitahu, sindiket terbabit mendapatkan bayi melalui iklan laman sosial dengan menawarkan wang antara RM1,500 hingga RM3,500, bahkan menanggung kos kelahiran ibu kandung.

Beliau memaklumkan, suspek kemudian akan menguruskan dokumen di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bersama ibu kandung untuk mendapatkan sijil kelahiran yang sah sebelum memutuskan hubungan dengan ibu berkenaan.

Sindiket itu tidak berhenti sekadar merakam, malah mereka memperdagangkan bahan penderaan seksual kanak-kanak menerusi aplikasi Telegram dan laman gelap demi mendapat keuntungan.

Selain itu, turut berlaku penderaan seksual fizikal terhadap mangsa yang kemudian dirakam secara zalim.

Aktiviti jijik itu bukan sahaja meragut maruah mangsa, malah meninggalkan trauma seumur hidup kepada kanak-kanak yang menjadi korban. Mereka tidak bersalah, namun menjadi mangsa kerakusan nafsu pedofilia.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan terbabit jelas melampaui batas moral dan kemanusiaan, sekali gus hukuman hendaklah berat setimpal dengan kekejaman yang dilakukan.

Undang-undang tidak cukup sekadar menjerat sindiket terlibat, sebaliknya pemilik video juga harus diburu tanpa kompromi kerana bayi bukan subjek eksploitasi atau komoditi.

Atas sebab itu, individu yang memiliki, menyimpan atau menonton bahan lucah kanak-kanak juga wajar ditahan dan dihadapkan ke muka pengadilan.

Memiliki bahan sedemikian bermakna menyokong jenayah keji tersebut daripada terus berleluasa.

Apa yang berlaku itu seharusnya menjadi pengajaran besar.

Bayi dan kanak-kanak adalah anugerah, bukannya bahan untuk diperdagangkan.

Mereka berhak mendapat kasih sayang, perlindungan dan persekitaran yang selamat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!