[VIDEO] Jari kanak-kanak hampir putus ketika selamatkan anak kucing

A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang kanak-kanak berisiko kehilangan jari tangan selepas ditimpa penutup longkang simen ketika menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap dalam kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang Rabu lalu, mangsa, Muhammad Aiman Haziq Mohd Raffizi, 10, yang juga murid Tahun Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran cedera apabila tangan kanannya dihempap penutup longkang konkrit di perumahan itu.

Ibunya, Sharifah Nurul Fatihah Sayed Saiful Amizat, 37, berkata, sebelum kejadian, anak ketiganya itu keluar bermain bersama kakaknya, Nur Afrida Humayraa, 13, dan seorang rakan sekitar jam 3 petang.

Sharifah Nurul Fatihah menunjukkan jari anaknya yang hampir putus akibat ditimpa penutup longkang.
Sharifah Nurul Fatihah menunjukkan jari anaknya yang hampir putus akibat ditimpa penutup longkang.

"Saya terkejut apabila Afrida pulang memberitahu jari Haziq hampir putus selepas terkena penutup longkang. Waktu itu saya bersama anak sulung, Nurafrina Batrisyia dan anak keempat berada di rumah.

"Saya segera turun ke bawah dan melihat darah banyak menitis di atas lantai dan jari anak saya telah terkulai," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini pada Isnin.

Menurutnya, ketika kejadian, suaminya, Mohd Raffizi Abd Rashid, 40, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing bergegas pulang sebelum segera membawa anaknya itu ke Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan menerima rawatan segera di zon kritikal.

Sharifah Nurul Fatihah menunjukkan lokasi insiden malang menimpa anaknya itu.
Sharifah Nurul Fatihah menunjukkan lokasi insiden malang menimpa anaknya itu.

Artikel Berkaitan:

"Doktor beritahu jari manis tangan kanan anak saya berisiko dipotong sekiranya sambungan urat dan tulang tidak berjaya dilakukan.

"Syukurlah, Haziq kini dalam pemantauan rapi dan diberikan cuti sakit selama 22 hari," katanya.

Sementara itu, Muhammad Aiman Haziq berkata, sebelum insiden itu, dia terdengar bunyi kucing dan berjaya menyelamatkan kucing itu selepas membuka penutup longkang.

"Saya turun ke dalam longkang untuk ambil anak kucing itu. Selepas mengeluarkan anak kucing dari dalam longkang, simen penutup itu terlepas lalu terkena jari saya.

"Tiga jari cedera dan jari manis hampir putus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!