Halaman rumah meriah dengan kibaran Jalur Gemilang

GOPENG - Semangat patriotik terus segar di Kampung Chulek di sini apabila halaman rumah penduduk bertukar menjadi meriah dengan kibaran Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68.
Menerusi program Halaman Rumah Merdeka anjuran Gopeng Glamping Park yang memasuki tahun ketiga sejak 2022, lebih 30 rumah mengambil bahagian dengan menampilkan pelbagai repilka antaranya menara berkembar, pesawat, kapal layar, kereta Proton, bunga raya gergasi dan galeri barangan antik.
Suasana itu bukan sahaja menghidupkan sambutan kemerdekaan di kampung berkenaan, malah mencerminkan kesungguhan penduduk daripada pelbagai latar belakang usia untuk menzahirkan rasa cinta kepada tanah air.
Bekas kontraktor, Ahmad Ali Mingan, 72, yang pernah meraih johan pada tahun 2023 berkata, penyertaan kali ini bersama isteri, Fauziah Kamarudin 62, cukup bermakna kerana menampilkan dua replika baharu iaitu kapal layar dan pesawat yang diperbuat daripada zink terpakai.

"Ini tahun ketiga saya masuk. Kos keseluruhan mencecah RM800 tetapi banyak juga bahan lama saya guna semula.
"Paling penting ialah semangat itu sendiri, sebab kita nak jayakan sambutan ini untuk jadi contoh kepada generasi akan datang,” katanya.
Razali Maizan, 66, bersama isterinya, Zaliha Shamsuddin, 63, pula memilih konsep bunga manggar berwarna-warni serta simbol bulan dan bintang sebagai lambang kepelbagaian dan keagungan Islam sebagai agama rasmi negara.
Pesara kilang itu berkata, mereka mengambil masa tiga hari untuk menyiapkan semua perhiasan termasuk mencari buluh di kawasan hutan berhampiran.
"Sebelum ini kami sekadar sertai, tetapi tahun ini buat bersungguh-sungguh sebab nak menang. Walaupun kurang tenaga, kami korbankan siang malam untuk hasilkan hiasan ini," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada penganjur kerana program seumpama ini mampu memberi motivasi kepada penduduk untuk terus menghidupkan semangat kemerdekaan.
Bagi peniaga warung, Siti Hajar Abd Fatah, 53, dan suaminya, Mohd Kamil Hindin, 65, penyertaan kali ini lebih unik kerana mengetengahkan konsep galeri antik.
"Tahun ini kami keluarkan koleksi lama seperti seterika, lampu pelita, kukur kelapa dan cucuk sanggul untuk dijadikan galeri merdeka," katanya.
Bekas guru tadika itu mengakui, semangat patriotik sudah tertanam dalam dirinya sejak kecil kerana beliau sendiri lahir dalam bulan kemerdekaan.
"Setiap kali masuk bulan Ogos, memang kami dah niat nak pasang bendera walaupun tanpa pertandingan. Bila ada pertandingan, lebih seronok," katanya.
Turut mencuri perhatian adalah penyertaan kali pertama seorang warga emas, Rokiah Yop, 78, yang menghasilkan replika bunga kebangsaan iaitu bunga raya.

Dari sehari ke sehari beliau sanggup berjaga hingga lewat malam bagi memastikan keselamatan replika bunga raya yang dihasilkan.
"Saya masuk pertandingan ini memang nak menang, sampai berjaga malam takut hiasan kena curi orang," katanya sambil ketawa namun jelas bangga dengan hasil kerjanya.

Sementara itu, Pengarah Program Halaman Rumah Merdeka, Mohd Riduan Jamaludin berkata, proses penjurian bagi tahun ini berjaya diselesaikan pada Jumaat dengan sambutan yang semakin menggalakkan daripada penduduk Kampung Chulek.

Menurutnya, pertandingan itu bukan sahaja dianjurkan untuk meraikan bulan kemerdekaan, sebaliknya mengeratkan silaturahim antara penduduk dan pengunjung di Gopeng Glamping Park selain menjadikannya sebagai satu tarikan pelancongan baharu.
"Kalau dahulu hanya sekitar 20 rumah yang menyertai, tetapi tahun ini meningkat kepada lebih 30 rumah. Menariknya kali ini, kebanyakan peserta kreatif menggunakan bahan terbuang untuk menghasilkan replika, sesuatu yang kita sangat galakkan," katanya.
Beliau menjelaskan, penduduk diberikan masa dari 15 hingga 29 Ogos untuk menyiapkan hiasan halaman rumah mengikut idea dan kreativiti masing-masing.
"Besar harapan kami agar program ini dapat diperluaskan pada masa depan melibatkan lebih banyak kampung dengan sokongan agensi luar.
"Kami juga berharap ia dapat dimasukkan ke dalam kalendar pelancongan negeri bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada setiap tahun," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

