1,323 peserta Orang Asli nikmati bayaran dividen lebih tinggi - MB Pahang

Wan Rosdy
Wan Rosdy
A
A
A

KUANTAN – Seramai 1,323 peserta Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli di Pahang kini menikmati bayaran dividen lebih tinggi selepas pengurusan projek itu diambil alih oleh Kerajaan Negeri melalui Pahang Orang Asli Corporation (ORACO).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dividen dibayar selepas 20 projek dengan keluasan keseluruhan 7,054.05 ekar selesai diambil alih sejak September 2024 hingga 20 Ogos lalu.

Menurutnya, ia membuktikan keupayaan Kerajaan Pahang melalui ORACO dalam menguruskan Projek Tanaman Semula Komersial (TSK) Orang Asli, sekali gus menjamin pendapatan peserta semakin bertambah sejak pengambilalihan dilakukan.

"Antara dividen tertinggi direkodkan ialah, Projek TSK Orang Asli Teluk Gunung, Lipis apabila peserta menerima dividen RM1,037 seorang pada Julai lalu berbanding sekitar RM500 sebelum ini.

"Peserta Projek TSK Kampung Arung, Pekan pula menerima bayaran sehingga RM1,000 seorang pada Disember 2024, hanya tiga bulan selepas pengambilalihan.

"Di Kuala Koyan, Lipis, dividen pertama sebanyak RM900 seorang dibayar pada November 2024 dan meningkat kepada RM1,000 seorang pada bulan berikutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Wan Rosdy memaklumkan, projek yang baharu diambil alih pada Ogos 2025 akan mula dibuat pembayaran dividen pertama pada September depan.

Jelasnya, peningkatan bayaran dividen ini didorong oleh pengurusan yang lebih berkesan serta kenaikan harga pasaran minyak sawit mentah dunia.

"Secara keseluruhan, peserta Projek TSK Orang Asli kini menikmati pendapatan dividen yang jauh lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu hanya sekitar RM100 hingga RM500 seorang sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Ini jelas membuktikan bahawa pengambilalihan pengurusan oleh kerajaan negeri adalah langkah yang tepat, berkesan serta memberi manfaat langsung kepada masyarakat Orang Asli di negeri ini," kata beliau lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai itu menambah, kejayaan pengurusan semula projek TSK itu membuktikan langkah diambil kerajaan negeri adalah tepat, berkesan dan memberi manfaat langsung kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, ia juga selaras dengan Aspirasi Pahang 1st yang menekankan pembangunan berteraskan kemakmuran bersama serta memastikan tiada golongan ketinggalan.

Wan Rosdy turut menyeru masyarakat Orang Asli agar terus memberi sokongan penuh kepada kerajaan dan ORACO supaya usaha membela nasib mereka dapat diteruskan.

“Hanya dengan keyakinan dan sokongan bersama, masa depan masyarakat Orang Asli akan lebih terjamin dan sejahtera,” katanya.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!