Remaja Orang Asli maut motosikal bertembung lori

LIPIS - Seorang remaja lelaki Orang Asli maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 37, Jalan Lipis-Sungai Koyan berhampiran Kampung Tanjung Gahai di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.40 tengah hari itu, mangsa dikenali sebagai Rendi Tino, 18, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Ismail Man berkata, hasil siasatan awal mendapati lori yang dipandu lelaki berusia 35 tahun dalam perjalanan dari Sungai Koyan menuju ke rumahnya di Padang Tengku selepas selesai berniaga di pasar tani.
“Mangsa pula menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Kuala Lipis untuk pulang ke rumah di RPS Betau.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori tersebut bertembung dengan motosikal dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.
Menurutnya, pemandu lori mengalami kecederaan di bahagian lengan kanan dan kaki kiri sebelum dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk rawatan lanjut.
“Siasatan lanjut diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Dalam pada itu, beliau meminta mana-mana saksi kejadian tampil membantu siasatan.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan berhemah ketika memandu, terutama dalam keadaan hujan selain memastikan kenderaan diselenggara dengan baik dan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

