Orang Asli maut gerai petai dirempuh lori

IPOH - Seorang wanita Orang Asli maut selepas gerai menjual petai dan madu kelulut miliknya dirempuh sebuah lori di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands berhampiran Kampung Pos Slim di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian jam 3.15 petang itu, lori jenis bonded dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu merempuh gerai berkenaan.
Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Shazlean Mohd Hanafiah berkata, mangsa berusia 54 tahun ditemukan terperosok di bawah lori.
Katanya, seorang lagi wanita Orang Asli berusia 26 tahun yang turut berada di lokasi sama semasa kejadian mengalami cedera di muka dan kaki.
"Ketua operasi mengarahkan anggota menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit namun dia disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, mangsa yang cedera telah diserahkan kepada pihak hospital untuk rawatan lanjut.
Katanya, pemandu lori berusia 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi yang melibatkan 11 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Simpang Pulai itu tamat sepenuhnya pada jam 5.30 petang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

