X

Kindly register in order to view this article
!

Covid-19: Kempen cuti kayuh elak penularan Covid-19

Status yang dimuatnaik oleh Arif Asyraf di Facebook Grab Drivers Malaysian Association.
A
A

SHAH ALAM – “Saya mahu gerakkan kempen cuti kayuh demi memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19) ini dan sahutlah saranan kerajaan, demi kebaikan bersama,” kata Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali.

Beliau berkata, pemandu Grab mengalami kerugian sepanjang dua minggu berturut-turut kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang bermula semalam.

“Betul, kita rugi dua minggu tuan-tuan. Tapi, andaikan anda terkena, jangankan dua minggu, silap-silap berbulan-bulan anda diisolasi, keluarga juga diisolasi. Lagi besar masalah anda berbanding dua minggu tak kayuh.

“Tuan-tuan, puan-puan, berbaloikah risikokan nyawa tuan-tuan, puan-puan, serta keluarga bila anda pulang nanti, berbanding fare grab/grabfood?,” soalnya menerusi status yang dimuatnaik di Facebook Grab Drivers Malaysian Association kira-kira satu jam lalu.

Dalam masa sama, Arif Asyraf turut menasihatkan pihak admin untuk memberitahu pemandu Grab supaya memberhentikan sementara perkhidmatan sehingga 1 April.

“Saya nasihatkan, untuk semua admin beritahu rakan pemandu, stop dulu laa hingga 1 April ini. Pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, insya-ALLAH, semoga rezeki kita akan dipermudahkan oleh ALLAH, selepas dua minggu ini nanti. Jangan la gusar.

“Teruskan share (kongsi) kepada group masing-masing. Utamakanlah nyawa anda, dan keluarga anda, sehingga 1 April 2020. Semoga segalanya pulih sediakala, agar kita dapat kembali hidup seperti biasa selepas tempoh ini,” katanya.

Beliau turut meminta penyewa-penyewa kereta supaya berbincang secara baik dengan pihak syarikat.

“Saya percaya mereka boleh berunding dalam tempoh darurat wabak berbahaya di ketika ini,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus