Tujuh langkah strategik tangani isu perlaksanaan URA - Ikram

Ikram mencadangkan tujuh langkah strategik termasuk penangguhan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) sehingga kajian impak sosial selesai.
Ikram mencadangkan tujuh langkah strategik termasuk penangguhan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) sehingga kajian impak sosial selesai.
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mencadangkan tujuh langkah strategik termasuk penangguhan pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar (URA) sehingga kajian impak sosial selesai bagi memastikan ia selaras dengan prinsip keadilan sosial, kesejahteraan komuniti dan ketelusan.

Cadangan itu dikemukakan berikutan hasil Kajian Dasar Ikram Sdn Bhd (KADRI) yang mendapati URA berpotensi mencetuskan ketidakadilan sosial, defisit kepercayaan dan konflik dalam kalangan pemegang taruh sekiranya dilaksanakan secara tergesa-gesa tanpa konsultasi menyeluruh.

Presidennya, Badlishah Sham Baharin berkata, pelaksanaan URA disaran ditangguhkan sehingga kajian impak sosial dan perundangan yang holistik disiapkan oleh sebuah Jawatankuasa Penilaian Khas.

"Kami turut mencadangkan supaya diwajibkan mekanisme rundingan komuniti yang telus serta libat urus inklusif dengan pemilik hartanah, komuniti setempat dan badan bukan kerajaan (NGO).

"Selain itu, peranan agensi kerajaan seperti Urban Development Authority (UDA) perlu diperkukuh sebagai badan pelaksana utama URA bagi mengimbangi kepentingan awam dan komersial," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Badlishah menambah, langkah lain termasuk melaksanakan polisi perlindungan komuniti asal dan pampasan setara, termasuk prinsip ‘one-to-one replacement’, pampasan nilai sentimental serta keutamaan penempatan semula kepada penduduk asal sebagai syarat utama pembangunan semula.

"Ikram juga mahu penyelenggaraan dan pemulihan bangunan sedia ada digalakkan melalui insentif cukai, geran dan pembiayaan mudah sebagai alternatif kepada pembinaan semula total," ujarnya lagi.

Menurutnya, cadangan lain adalah memastikan ketelusan maklumat dan akauntabiliti proses melalui penyiaran data impak projek URA secara berkala, audit terbuka dan saluran aduan yang efektif.

Beliau berkata, turut dicadangkan agar diberikan jaminan kepada pemilik mengenai implikasi kewangan yang akan timbul sebaik memiliki bangunan baharu serta bayaran tambahan yang perlu ditanggung berbanding sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya diluluskan, pelaksanaan URA boleh menimbulkan pelbagai isu berkaitan kewujudan undang-undang sedia ada, hak pemilik hartanah, dominasi pemaju dan implikasi sosial terhadap komuniti setempat," katanya.

Justeru, Badlishah berkata, pihak berkuasa diseru mengkaji semula URA secara menyeluruh agar selaras dengan prinsip keadilan sosial, kesejahteraan komuniti dan ketelusan pelaksanaan.

"Ikram menegaskan bahawa kejayaan URA bergantung kepada keseimbangan antara aspirasi pembangunan yang mampan dan lestari, perlindungan komuniti dan ketelusan pelaksanaan.

"Hanya dengan pendekatan yang inklusif dan berfakta, URA mampu menjadi alat pembangunan yang adil dan lestari demi kesejahteraan semua rakyat Malaysia," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!