[VIDEO] RUU Perolehan Kerajaan diluluskan, pembangkang protes keluar dewan
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dari Dewan Rakyat pada Khamis sebagai tanda protes selepas gagal menghalang Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 (RUU PK 2025) diluluskan bacaan kedua menerusi undian belah bahagi.
Tindakan itu dibuat selepas perbahasan tegang oleh wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang meluahkan rasa tidak puas hati kerana RUU tersebut didakwa tidak dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) Kewangan dan Ekonomi.
Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, RUU terbabit diluluskan setelah 125 undi bersetuju dan 63 undi menentang, seorang tidak mengundi manakala 32 ahli Palimen lagi tidak hadir.
Katanya, desakan pembangkang supaya ia dirujuk ke JPKP tidak berbangkit memandangkan ketika RUU tersebut dibentang peringkat bacaan kali pertama dahulu, tiada sebarang permohonan daripada JPKK minta ia ditetliti terlebih dulu diperingkat mereka.
"Jawatankuasa iaitu pengerusi mestilah JPKP menulis (surat) kepada mana-mana kementerian yang akan memastikan draf undang-undang selepas bacaan pertama.
"Dia boleh (minta), tapi saya sudah semak tidak ada permohonan untuk JPKP minta itu, jadi saya anggap tidak ada permohonan," katanya.

Sementara itu, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menolak tanggapan pembangkang kononnya RUU itu dibentang pada saat akhir ketika menggulung perbahasan RUU berkenaan.
Sebaliknya, beliau menegaskan, penggubalannya RUU tersebut sudah bermula sejak 2018 lagi dan sudah mengambil kira libat urus yang diadakan termasuk untuk menerima cadangan.
"Ada penambahbaikan yang kita buat hasil dari libat urus ini. Sebab libat urus itu sudah luas, (maka libat urus dengan) Jawatankuasa Pilihan Khas (Parlimen) tak wajib, sebab kita sudah buat libat urus.
“Di bawah RUU ini, peruntukan kuasa untuk menetapkan kaedah lain secara perolehan terbuka dan bersaing diberi kepada Menteri Kewangan di bawah fasal 28(2)," ujarnya.
Bagaimanapun, Amir Hamzah menjelaskan, walaupun peruntukan kuasa itu diberikan kepada Menteri Kewangan, terdapat penambahbaikan dibuat kerana kawalan tetap ditetapkan.
"Menteri Kewangan dalam mengadakan peraturan berkenaan kaedah selain terbuka dan bersaing hendaklah disertakan dengan kriteria, kelayakan, syarat dan sekatan. Jika ada ketidakpatuhan dalam kaedah selain terbuka dan bersaing ini, keputusan perolehan yang dibuat dibawa ke panel kajian semula dan tribunal.
"Ini satu kawalan baharu masuk yang tidak wujud dalam cara perolehan sekarang. Ini penambahbaikan, kerana itu kita bawa RUU ini (kerana) mahu kawal proses perolehan kerajaan," tegasnya.
RUU Perolehan Kerajaan mengandungi sebanyak 12 bahagian dan 93 fasal yang digubal dengan hasrat untuk mencapai beberapa matlamat jelas dan tegas iaitu meletakkan pertanggungjawaban sepenuhnya kepada mana-mana pihak yang melaksanakan perolehan menggunakan dana kerajaan.
RUU terbabit turut digubal selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) yang diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan setiap perbelanjaan awam diurus secara telus, berakauntabiliti dan bebas daripada ketirisan.
Selain itu, ia juga digubal untuk mengekang amalan perolehan yang tidak adil dan sering disalah guna, dengan mewajibkan penubuhan dan pentadbiran panel kajian semula ke atas keputusan di semua agensi pelaksana perolehan kerajaan, selain penubuhan Tribunal Rayuan Perolehan kerajaan sebagai badan berkecuali di bawah Kementerian Kewangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


