Cadangan RUU Perolehan Kerajaan tidak memadai lindungi peruntukan awam

SHAH ALAM – Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menyifatkan cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 masih kurang lengkap untuk memastikan peruntukan awam digunakan secara adil, telus dan bertanggungjawab.
Pengurus Kanan Penyelidikan IDEAS, Alissa Rode berkata, walaupun pihaknya mengalu-alukan usaha kerajaan menggubal proses perolehan yang sebelum ini bergantung kepada pekeliling pentadbiran, namun terdapat jurang serius dalam draf undang-undang berkenaan.
Menurutnya, RUU tersebut tidak memenuhi piawaian ketelusan dan pemantauan seperti digariskan oleh United Nations Commission on International Trade Law (UNCITRAL).
“Salah satu kebimbangan utama ialah kuasa budi bicara yang terlalu besar kepada menteri. Seksyen 2(2) memberi pengecualian sepenuhnya kepada Menteri Kewangan dalam perihal ‘peruntukan one-off’ kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun.
“Memandangkan projek infrastruktur utama sering menggunakan GLC, ini adalah kelompongan serius,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, Menteri Kewangan juga dibenarkan menentukan kaedah perolehan selain perolehan berdaya saing (Seksyen 28(2)), manakala Seksyen 12(8) memberi kuasa mutlak kepada menteri jika badan perolehan gagal membuat keputusan sebulat suara.
“Bagi perolehan RM50 juta ke atas, Menteri Kewangan atau Ketua Menteri (bagi negeri) menjadi pihak berkuasa tunggal. Walaupun menteri perlu mengambil saranan badan perolehan, beliau masih boleh membuat keputusan berdasarkan budi bicara (Seksyen 13(3)).
“Perundangan ini berpotensi mempolitikkan proses perolehan dan meningkatkan risiko salah guna kuasa,” katanya.
Tambahnya, aspek ketelusan juga masih longgar kerana tiada kewajipan jelas untuk menerbitkan semua tender, keputusan penganugerahan serta sebarang perubahan kontrak.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, kelemahan itu boleh mengulangi skandal besar seperti Littoral Combat Ship (LCS), Jabatan Air Sabah, Scorpene dan PKFZ.
“Malaysia berhak mendapat undang-undang perolehan yang menegakkan tadbir urus bersih, menjamin nilai wang dan mengukuhkan keyakinan awam,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
