RUU Perolehan perlu diperhalusi, elak kuasa berlebihan - Ahli Parlimen Bachok

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman
Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman
A
A
A

SHAH ALAM – Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 perlu diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya benar-benar menepati tujuan asal iaitu meningkatkan integriti dan ketelusan.

Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman berkata, niat baik kerajaan untuk mendisiplinkan Putrajaya dalam urusan kewangan wajar dipuji, namun tindakan yang bercanggah dengan objektif asal hanya akan menimbulkan lebih banyak masalah.

"Beberapa pertubuhan masyarakat sivil turut menyuarakan kebimbangan dan menggesa RUU itu dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kewangan dan Ekonomi.

“Pusat Memeragi Rasuah dan Kronisme (C4), Rasuah Busters, IDEAS serta Transparency International Malaysia antara yang meminta ia ditangguhkan kerana bimbang peruntukan memberi kuasa terlalu luas kepada menteri sehingga wujud percanggahan kepentingan,” katanya ketika membahaskan RUU itu di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata, kebimbangan utama tertumpu kepada beberapa fasal berkaitan kuasa menteri termasuk Fasal 2(2), Fasal 10 dan Fasal 13(3), selain tatacara perolehan terbuka serta penzahiran kepentingan di bawah Fasal 28, 30, 32 dan 37.

Katanya, isu berkaitan bidang kuasa menteri juga sudah disentuh oleh ramai ahli Parlimen lain dan sewajarnya diperhalusi dengan lebih mendalam.

Dalam masa sama, beliau menegaskan kedudukan dasar keutamaan Bumiputera dalam RUU Perolehan Kerajaan perlu diperjelas bagi memastikan agenda pembangunan Bumiputera tidak diketepikan.

“Selama ini dasar itu berfungsi sebagai mekanisme memperkukuh penyertaan Bumiputera dalam ekonomi arus perdana, khususnya melalui kontrak kerajaan," jelasnya.

Namun katanya, pelaksanaan dasar keutamaan itu perlu digarap dengan pendekatan lebih telus, kompetitif dan berkesan agar ia tidak dipersoalkan.

Artikel Berkaitan:

“Persoalan utama ialah bagaimana akta ini dapat menyeimbangkan keterangkuman Bumiputera dengan tadbir urus yang baik. Jika gagal, ia bukan sahaja melemahkan objektif ketelusan malah boleh mencetus polemik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agar RUU tersebut tidak menjadi sekadar kosmetik untuk kerajaan mendakwa melakukan reformasi, sebaliknya perlu benar-benar mencegah ketirisan, kronisme dan pemusatan kuasa.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!