PRNNK utamakan golongan miskin, anak yatim

Adnan
Adnan
A
A
A

KOTA BHARU – Malaysia #QuranHour 2025 di Kelantan bakal diterjemah dalam bentuk lebih dekat dengan masyarakat apabila Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) memberi keutamaan kepada golongan miskin dan anak yatim menerusi tema ‘Merdeka Dengan Rasa’.

Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, perkara itu seiring dengan surah al-Balad yang dipilih sebagai panduan utama tahun ini bagi mendidik masyarakat supaya benar-benar menghayati erti kemerdekaan dengan membela mereka yang ditindas dan dinafikan hak.

“Kita mahu masyarakat rasa empati terutama terhadap empat golongan iaitu miskin, anak yatim, mangsa buli dan orang kurang upaya.

“Kami tidak mahu mereka rasa disisihkan sebaliknya diraikan sebagai sebahagian daripada gerakan Saving The Ummah,” katanya kepada Sinar Harian dalam rangka promosi Malaysia #QuranHour di sini.

Menurutnya, pendekatan pihaknya bukan sahaja melibatkan sesi bacaan dan tadabbur al-Quran di masjid sebaliknya akan turun ke lapangan termasuk ke rumah miskin dan yatim bagi menyampaikan mesej ‘Merdeka Dengan Rasa’.

Peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour pada tahun lepas.
Peserta yang menyertai Malaysia #QuranHour pada tahun lepas.

Beliau berkata, selain masyarakat awam, penglibatan turut melibatkan jabatan kerajaan, pegawai pentadbiran dan pelajar sekolah bagi memastikan gerakan itu merentasi semua lapisan.

“Tahun lalu kami berjaya himpunkan kira-kira 700 peserta dan tahun ini disasar kepada 1,000 peserta.

Artikel Berkaitan:

“Permulaan akan melibatkan wakil 25 individu miskin dan 25 anak yatim serta akan ditambah dari tahun ke tahun,” jelasnya.

Adnan menegaskan, mesej utama ‘Merdeka Dengan Rasa’ ialah mengajak pemimpin, pembuat dasar serta seluruh masyarakat agar mempunyai rasa positif dalam melindungi golongan lemah dan memikul tanggungjawab bersama.

Malaysia #QuranHour yang dianjurkan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sejak 2015 menjadi platform penyatuan umat menerusi bacaan, tadabbur dan penghayatan al-Quran.

Di Kelantan, venue utama akan diadakan di Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra di Kubang Kerian di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!