'Dulu jiran bantu tolak, sekarang boleh bergerak sendiri'

Mahusin didukung Wan Hamdan untuk diletakkan di atas kerusi roda.
Mahusin didukung Wan Hamdan untuk diletakkan di atas kerusi roda.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) fizikal yang hidup tanpa tangan dan kaki tidak sempurna sejak lahir kini mampu bergerak sendiri ke masjid selepas menerima kerusi roda elektrik yang diubah suai khas.

Mahusin Hanafiah, 58, dari Kampung Pasir Klang Baru, Kuala Krai berkata, sebelum ini dia hanya menggunakan kerusi roda lama sejak 1980 dan bergantung sepenuhnya kepada bantuan jiran, Wan Hamdan Hamat, 66, yang juga sahabat baiknya untuk bergerak keluar rumah.

“Kalau nak ke masjid, jiran saya akan dukung dan letakkan atas kerusi roda itu serta bantu tolak saya sampai ke masjid.

“Sekarang ada kerusi roda elektrik yang diubah kedudukan suis supaya saya boleh capai dengan lengan kanan, jadi lebih mudah untuk saya bergerak,” katanya kepada Sinar Harian.

Mahusin ditemui selepas menerima kerusi roda yang dimodifikasi, disampaikan Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra di Universiti Sains Malaysia di sini pada Rabu.

Mahusin menerima kerusi roda elektrik yang telah diubah suai untuk memudahkan pergerakannya.
Mahusin menerima kerusi roda elektrik yang telah diubah suai untuk memudahkan pergerakannya.

Anak sulung daripada tiga beradik itu tinggal bersama ibunya, Mek Su Che Pa, yang sudah lanjut usia, manakala adik bongsunya merupakan OKU pembelajaran.

Walaupun serba kekurangan, Mahusin yang mempunyai berat badan hanya sekitar 50 kilogram tetap berusaha menjalani kehidupan berdikari.

Artikel Berkaitan:

“Saya makan nasi guna sudu yang dikepit pada lima jari kaki kanan, manakala kaki kiri hanya ada ibu jari. Menulis pun saya guna kaki.

“Kerusi roda ini akan memudahkan saya ke masjid dan boleh kurangkan bergantung kepada orang lain,” ujarnya.

Mahusin yang pernah mengikuti latihan di Pusat Pemulihan Orang Cacat Anggota Cheras sekitar tahun 1980-an, kini menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual petrol di kampungnya yang terletak di seberang Sungai Kelantan, dan memerlukan penggunaan feri untuk ke tanah besar.

“Kerusi roda elektrik ini juga amat membantu kerana saya perlu berulang-alik menaiki feri ambil bekalan petrol dari tanah besar untuk dijual bagi kegunaan motosikal di kampung saya,” katanya.

Mahusin juga menerima Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi menampung kehidupan seharian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!