Hanya dua syarat perlu dipenuhi sebelum KXP dilaksana - Sanusi

ALOR SETAR - Hanya dua syarat perlu dipenuhi sebelum projek Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) dapat diteruskan.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, daripada lapan syarat yang ditetapkan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN), enam sudah dipenuhi oleh kerajaan negeri.
Menurutnya, dua lagi syarat masih tergantung membabitkan pelaksanaan National Aerospace Strategic Plan (NASP) dan kelulusan Aerodrome Licence.
“NASP di bawah bidang kuasa Kementerian Pengangkutan (MOT), manakala Aerodrome Licence pula di bawah Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Dua perkara ini bukan bidang kuasa kita, jadi kerajaan negeri hanya menunggu komitmen daripada pihak Persekutuan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran program Bakti Siswa Perdana peringkat negeri di sini pada Rabu.
Muhammad Sanusi berkata, dalam mesyuarat yang diadakan dua bulan lalu, dimaklumkan NASP akan siap dalam tempoh lapan bulan.
“Bermakna ada lebih kurang enam bulan lagi, kita tunggu janji mereka tentang NASP yang diberi tempoh siap dalam lapan bulan. Saya harap mereka setia dengan janji itu,” katanya.
Beliau memaklumkan, Kedah telah memohon agar tempoh kelulusan MPFN disambung lima tahun bagi memberi ruang melengkapkan semua syarat tersebut.

“Saya harap Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dapat memberikan sokongan penuh bagi memudahkan urusan pelaksanaan KXP,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berharap proses merealisasikan KXP tidak dijadikan polemik politik kerana projek tersebut memberi manfaat besar kepada negeri dan negara.
“Harapan saya besar menggunung, jangan ada pihak melengah-lengahkan lagi. Jangan main politik yang merugikan rakyat. Kalau nak main politik, mainlah politik yang menguntungkan orang ramai,” katanya.
Dalam ucapannya sebelum itu, Muhammad Sanusi menegaskan sekiranya selepas ini timbul lagi masalah berkaitan KXP, ia hanyalah helah politik bagi melambat-lambatkan pelaksanaannya.
“Kalau selepas ini timbul lagi masalah baharu, saya faham ada pihak yang lebih patuh kepada ‘master politik’ mereka hingga benda yang baik pun mereka tak boleh bersetuju.
“Itu politik yang merugikan. Jangan main politik sehingga ke tahap itu,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan agar budaya ‘politik katak’ tidak diamalkan dalam urusan pentadbiran.
“Politik katak ini merujuk kepada perbuatan jika kita tak dapat laksanakan atau belum mampu, pada masa sama ada pihak lain mempunyai hasrat sama, kita tak benar dia lakukan dengan ‘bunuh’ usaha tersebut dari atas,” jelasnya.
Tambah beliau, generasi akan datang diingatkan agar tidak terjerat dengan permainan politik sempit seperti itu yang menghalang projek pembangunan demi kepentingan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

