17 wanita Indonesia jadi mangsa eksploitasi diselamatkan imigresen

KUANTAN – Seramai 17 wanita warga Indonesia berjaya diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Pahang daripada sindiket yang mengeksploitasi mereka sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan dalam serbuan di sebuah premis di Temerloh kira-kira jam 10 malam, Ahad lalu.
Operasi khas itu dijalankan JIM Pahang dengan kerjasama Bahagian Pencegahan Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) serta Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA) Ibu Pejabat JIM Putrajaya.
Pengarah JIM Pahang, Nursafariza Hasan berkata, semua mangsa yang diselamatkan berusia antara 23 hingga 50 tahun dan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) tamat tempoh.
“Kesemua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sementara tindakan lanjut dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, sindiket berkenaan didalangi seorang lelaki dan seorang wanita warga tempatan yang kini telah direman bagi membantu siasatan.
“Mereka dipercayai pemilik agensi dan penjaga kepada semua mangsa. Sindiket ini dipercayai beroperasi lebih dua tahun serta mengaut keuntungan melebihi RM500,000 setahun hasil bayaran perkhidmatan tersebut.
"Modus operandi mereka ialah menggunakan wanita warga asing untuk bekerja sebagai pembantu rumah harian dan pekerja pembersihan di rumah yang ditetapkan dengan bayaran antara RM120 hingga RM150 sehari,” katanya.
Nursafariza menjelaskan, mangsa tidak pernah menerima gaji secara fizikal daripada sindiket, selain kebebasan turut disekat termasuk cuti dan penggunaan telefon bimbit untuk menghubungi ahli keluarga di negara asal.
“Mangsa juga diwajibkan bekerja dengan bayaran tinggi yang ditetapkan agensi, malah diarahkan bekerja separuh masa bagi beberapa majikan berbeza setiap hari. Kadar bayaran harian diserahkan sepenuhnya kepada agensi tanpa persetujuan mangsa,” katanya.
Dalam serbuan itu, pihak berkuasa turut menyita sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), wang tunai RM10,570, 87 pasport Indonesia, 52 telefon bimbit dan pelbagai dokumen lain milik mangsa yang dikawal penjaga premis.

Menurutnya, operasi ini menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
"Siasatan kini dijalankan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010), Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), Akta Pasport 1966 dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai pendatang tanpa izin atau kegiatan sindiket diminta menyalurkannya bagi membantu JIM menutup ruang aktiviti haram serta melindungi keselamatan rakyat dan kedaulatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

