Dua rakan didakwa perdagang pelajar kembar 14 tahun jadi mangsa eksploitasi seks

MANJUNG – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seri Manjung pada Rabu atas dua pertuduhan memperdagangkan adik-beradik kembar perempuan berusia 14 tahun bagi tujuan eksploitasi seks sejak Mei lalu.
Tertuduh, Muhammad Mustaqim Mohd Zuber, 25, dan Syazwani Mohd Hashim, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.
Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh yang masih bujang didakwa bersama-sama memperdagangkan dua mangsa yang masih kanak-kanak bagi maksud eksploitasi seks di sebuah apartmen di Teluk Muruh, Lumut, dalam daerah Manjung, antara 12 Mei hingga 15 Jun 2025.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, M Esther Jacyntha, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan, namun memohon mahkamah menetapkan jumlah antara RM15,000 hingga RM20,000 sekiranya jaminan diberikan, bersama syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu saksi sehingga kes selesai.
Syazwani yang bekerja sebagai pembantu klinik di Manjung, dalam rayuannya memohon jaminan rendah dengan alasan daripada keluarga susah manakala Muhammad Mustaqim turut merayu jaminan minimum kerana hanya memperoleh pendapatan melalui kerja membaiki telefon bimbit.
Mahkamah kemudiannya membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan.
Hakim turut mengingatkan kedua-dua tertuduh supaya tidak mengganggu semua saksi pendakwaan khususnya mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 22 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Difahamkan, mangsa yang masih bersekolah itu dijaga oleh datuk dan nenek mengenali suspek melalui media sosial sejak Mei lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

