Isu bendera terbalik: MPPn pertahan keputusan tutup premis

Abdul Azim (empat dari kanan) menerima memorandum yang disampaikan wakil 38 NGO di bangunan MPPn Pontian pada Rabu.
Abdul Azim (empat dari kanan) menerima memorandum yang disampaikan wakil 38 NGO di bangunan MPPn Pontian pada Rabu.
A
A
A

PONTIAN – [DIKEMAS KINI] Tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) menutup sebuah klinik gigi dan pasar raya mini di daerah itu selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik dibuat mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) yang dimiliki pihak berkuasa tempatan (PBT).

Yang Dipertua MPPn, Abdul Azim Shamsudin berkata, setiap PBT mempunyai kuasa penuh melalui UUK masing-masing yang telah diwartakan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau peraturan ditetapkan.

“MPPn tidak bertindak di luar batasan undang-undang atau keterlaluan dalam isu bendera terbalik kerana ia terkandung di dalam UUK Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan MDP (2019).

“Tindakan penutupan ini dibuat mengikut UUK 49(2) yang memberi kuasa kepada Yang Dipertua untuk menutup mana-mana premis yang melanggar syarat lesen atau undang-undang kecil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum sokongan daripada gabungan 38 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pontian di hadapan pejabat MPPn, di sini pagi tadi.

Memorandum itu diserahkan wakil NGO, Mohd Fauzi Abdul Rahman sebelum kumpulan tersebut turut menyerahkan memorandum sama kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian tengah hari ini.

Memorundum tersebut merupakan sokongan terhadap tindakan tegas dan segera diambil PBT berkenaan dan polis dalam menangani isu bendera Johor dan Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik membabitkan sebuah pasar mini dan klinik pergigian swasta.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Eksekutif Kebangsaan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dalam satu kenyataan menyifatkan arahan penutupan itu keterlaluan dan hukuman tersebut tidak setimpal dengan kesalahan.

Menurut DAPSY, tindakan MPPn itu juga melampaui kuasa serta menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap tadbir urus kerajaan tempatan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas gesaan pihak-pihak yang meminta MPPn menarik balik arahan tersebut, Abdul Azim menegaskan setiap PBT mempunyai kuasa untuk melaksanakan penutupan premis yang melanggar peraturan sedia ada.

Tegasnya, pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Johor tidak boleh dilakukan sembarangan kerana ia lambang maruah negara serta negeri yang dilindungi undang-undang.

Pada 20 Ogos lalu, sebuah premis pergigian swasta di Pusat Perdagangan Pontian diarahkan tutup selama 30 hari selepas didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.

Pada Isnin, sebuah pasar raya mini di Pekan Nanas turut dikenakan tindakan sama selepas didapati mengibarkan bendera Johor secara terbalik.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!