Hukuman sepatutnya boleh dipertimbangkan - Nie Ching

KULAI - [DIKEMAS KINI] Tindakan Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) mengeluarkan arahan penutupan klinik gigi di Pontian selama 30 hari kerana mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik baru-baru ini, dilihat terlalu berat.
Menurut Pengerusi DAP Johor, Teo Nie Ching, arahan penutupan itu dlihat seakan tidak setimpal dengan kesalahan yang dilakukan kerana ia didapati tidak disengajakan.
Malah katanya, perkara tersebut telah disiasat oleh pihak polis yang turut menyatakan bahawa perbuatan tersebut tidak berniat mencabar kedaulatan negara.
“Saya bukan mahu mempertahankan perbuatan yang dilakukan oleh premis itu, ia adalah perbuatan yang salah tetapi ia tidak disengajakan dan arahan penutupan premis selama 30 hari itu terlalu lama.
"Hukuman itu sepatutnya boleh dipertimbangkan. Bagaimana sekiranya kesilapan itu dilakukan oleh sebuah kilang yang mempunyai pekerja yang ramai.
"Tentunya ia memberikan implikasi yang sangat buruk," katanya kepada pemberita setelah menyempurnakan Majlis Serahan Sumbangan Murid Cemerlang dan Pendidikan Pelajar di Dewan Terbuka Jalan Merbuk, Bandar Putra di sini, pada Ahad.
Khamis lalu, Yang Dipertua (YDP) MPPn, Abdul Azim Shamsuddin, mengesahkan telah menyerahkan notis penutupan kepada sebuah klinik yang didapati mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik sehingga tular di media sosial.
Tindakan itu diambil setelah pemeriksaan mendapati premis berkenaan melanggar Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Perniagaan dan Perdagangan Majlis Daerah Pontian (MDP) 2019, berhubung kewajiban pengibaran bendera.
Tindakan MPPn itu turut mendapat reaksi daripada pelbagai pihak samada yang menyokong mahupun mengecam tindakan berkenaan.
Sementara itu, Nie Ching yang juga Ahli Parlimen Kulai turut berharap pihak MPPn dapat mempertimbangkan hukuman yang lebih ringan terhadap klinik gigi berkenaan.
“Ketika saya mengadakan program mengedar Jalur Gemilang, ramai orang yang meluahkan rasa bimbang kalau tersalah gantung bendera Malaysia. Ada juga yang berpendapat tak perlu gantung kerana tidak akan berdepan sebarang isu.
“Bagi saya, amat penting untuk kita menghormati Jalur Gemilang sebagai satu tanda cintakan negara, sepatutnya tidak timbul isu pasang bendera terbalik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
