Rakan Pemandu Grab sedia berarak di Hari Kebangsaan

KUALA LUMPUR - Platform e-hailing Grab bukan sahaja membantu rakyat mencari pendapatan, malah membuka peluang kepada individu daripada pelbagai latar belakang untuk berdikari, menyara keluarga dan menyumbang kepada masyarakat
Tahun ini, enam rakan pemandu dan penghantar Grab terpilih menyertai kontinjen Grab dalam Perarakan Hari Kebangsaan, membawa mesej keterangkuman dan kebanggaan sebagai rakyat Malaysia.
Penyertaan mereka menjadi simbol bahawa semangat kemerdekaan tidak terbatas kepada satu golongan sahaja.
Sama ada orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal, bekas pekerja kilang atau jurutera yang diberhentikan kerja, semua berpeluang untuk bangkit dan menyumbang kepada negara apabila diberi platform yang sesuai.
Dengan ribuan rakan pemandu dan penghantar Grab berkhidmat setiap hari di jalan raya, kisah enam individu ini mencerminkan bagaimana teknologi dan ekonomi gig boleh menjadi pemangkin perubahan hidup, daripada mengatasi cabaran kewangan hinggalah membina keyakinan diri serta keharmonian keluarga.
Pemandu OKU bukti kecekalan, kebanggaan negara

Bagi seorang pemandu pekak, Chang Yoon Khim yang telah bersama Grab selama tujuh tahun, peluang memandu bukan sekadar mencari pendapatan, tetapi mengubah kehidupan sekeluarga.
“Grab memberi saya kebebasan dan berdikari untuk mencari rezeki, manakala GrabMaps memudahkan perjalanan harian saya.
“Saya bangga sekali lagi mewakili Grab membawa mesej bahawa rakyat Malaysia daripada semua keupayaan mampu menyumbang kepada negara,” katanya.
Seorang lagi rakan pemandu, Teong Siew Queen yang juga kerusi roda dan ibu tunggal, berkata fleksibiliti memandu Grab membolehkannya menentukan masa kerja sendiri, sambil terus menyokong keluarga dan aktif dalam persatuan OKU.
“Perarakan ini melambangkan keterangkuman Malaysia untuk semua. Sebagai pemandu Grab, saya juga bangga menjadi duta negara, berkongsi budaya dan keramahan kita dengan penumpang dari seluruh dunia,” ujarnya.
Stabilkan keluarga, bantu komuniti

Sementara itu, Shanlee Tan Shamsuri Tan, yang berdepan ujian hidup kehilangan pekerjaan di sebuah kilang pada 2016, kini menjadi pemandu sepenuh masa dan anggota Jawatankuasa Rakan Perwakilan Grab (RRC).
Katanya, Grab memberikan kestabilan untuk saya hadir sebagai seorang bapa kerana beliau boleh bekerja pagi, jemput anak tengah hari dan sambung semula pada petang.
“Selain itu, saya dapat bantu ratusan pemandu baharu memulakan kerjaya di Grab,* katanya yang turut menyertai kontinjen Grab sempena Hari Kebangsaan.
Kisah sama dikongsi Arina Raimi Mohmad, yang pernah hilang pekerjaan dan gagal dalam perniagaan makanan.
Dengan pendapatan kira-kira RM3,000 sebulan melalui Grab, beliau dan suaminya kini berjaya membina semula kehidupan.
Fleksibiliti untuk imbangi keluarga dan kerjaya

Manakala bagi Mohd Kharizan Md Yusof, bekas jurutera yang diberhentikan semasa pandemik, Grab menjadi sumber rezeki utama dengan pendapatan purata RM4,000 hingga RM5,000 sebulan.
“Ia bukan sekadar kewangan, tetapi kebebasan untuk menjaga keluarga, komuniti dan ibu saya yang memerlukan dialisis tiga kali seminggu,” jelasnya.
Sementara itu, penghantar GrabFood dan ibu tunggal kepada tujuh anak, Masnizah Marzukir, berkata fleksibiliti platform ini sangat bermakna untuknya.

“Saya boleh rancang masa bersama keluarga sambil menyara hidup dengan insentif dan pendapatan harian.
“Tahun ini saya bangga mewakili Grab dalam perarakan sebagai tanda kesyukuran sebagai rakyat Malaysia,”katanya.
Kisah enam individu ini menyerlahkan bagaimana Grab bukan sekadar platform mencari pendapatan, tetapi turut menjadi landasan rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang untuk berdikari, berbakti kepada keluarga dan berperanan dalam komuniti iaitu sejajar dengan semangat Hari Kebangsaan yang meraikan kepelbagaian dan keterangkuman.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
