Pertandingan mengelamun tarik ratusan peserta

YOGYAKARTA –Jika kebiasaannya sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia disemarakkan dengan pelbagai acara tradisi seperti lumba lari dalam guni, tarik tali, namun lain pula di Kotagede, di sini apabila penganjur memilih kelainan dengan mengadakan pertandingan mengelamun.
Acara unik yang berlangsung pada 20 Ogos itu diadakan di sebuah padang terbuka dan berjaya menarik lebih 100 peserta yang mahu menguji ketahanan dengan hanya duduk termenung sambil membiarkan fikiran melayang.
Bagi sesetengah peserta, pertandingan ini menjadi ruang untuk 'mendalami diri sendiri'.
“Saya memang sering mengelamun, jadi bila nampak ada pertandingan ini saya rasa ia sangat sesuai.
“Semakin dewasa, kita semakin dibebani tanggungjawab hingga sukar mencari masa untuk mengelamun. Di sini, ia malah digalakkan,” kata Alfina Tri Agustin, 25 tahun, dari Jakarta yang menyifatkan dirinya sedang melalui ‘krisis suku abad’.

Peserta lain, Ibnu Wahyu dari Kulonprogo pula menyertainya kerana rasa ingin tahu.
“Rupanya tidak mudah untuk mengelamun apabila tidak biasa, apatah lagi di tengah khalayak. Akhirnya saya banyak berfikir, bukannya mengelamun,” katanya sambil ketawa selepas tersingkir dalam tempoh 10 minit.
Idea pertandingan ini diinspirasikan daripada acara seumpamanya di Jepun, namun sistem penilaian di Yogyakarta diubah suai.
Jika di Jepun digunakan pengesan kadar denyutan jantung untuk menilai tahap fokus, penganjur tempatan memilih panel juri yang terdiri daripada ahli psikologi serta penggiat gaya hidup perlahan (slow living).
Mereka menilai ekspresi wajah dan reaksi peserta terhadap gangguan, dan sesiapa yang kelihatan hilang fokus akan disingkirkan dengan bunyi wisel.
Pertandingan berlangsung dalam beberapa pusingan saringan sebelum ke peringkat akhir, dengan hadiah disediakan untuk kategori ‘pengelamun terlama’, ‘paling ekspresif’ dan ‘kostum terbaik’.
Penganjur pada awalnya hanya menjangkakan sekitar 20 peserta, namun terkejut apabila 120 orang mendaftar, terdiri daripada mahasiswa hingga lelaki pertengahan umur.
Bima, salah seorang finalis, dinobatkan sebagai juara selepas berjaya mengelamun lebih empat jam.
“Hadiah tidaklah besar, tapi saya cuma mahu peluang untuk berehat dan berasa gembira sambil mengelamun dengan tenang,” katanya.
Pertandingan ini dianjurkan oleh kumpulan komuniti Tamasya Karsa yang menjelaskan objektif acara adalah memberi ruang kepada masyarakat berhenti sejenak daripada gaya hidup serba pantas.
“Hari ini, segala-galanya bergerak terlalu cepat. Kami mahu mencipta ruang untuk memperlahankan langkah. Melalui mengelamun, orang ramai boleh mengambil masa untuk diam dan membiarkan fikiran bebas mengembara,” kata wakil penganjur.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

