Tak kisah tiada sambutan Hari Guru yang penting anak murid datang sekolah

Wan Zakaria (tiga, kanan) bersama guru di Bizara Care Centre
Wan Zakaria (tiga, kanan) bersama guru di Bizara Care Centre
A
A
A

KOTA BHARU - Sambutan Hari Guru pada 16 Mei pastinya meriah dengan pelbagai acara dan ucapan daripada pelajar dan ibu bapa.

Namun di sebalik kemeriahan itu ada hero yang tidak didendang iaitu warga pendidik pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) terutama yang berkecimpung di sektor swasta.

Pengasas Bizara Care Centre, Wan Zakaria Wan Abu Bakar bagaimanapun berkata, sambutan itu tidak penting kerana paling utama ialah kejayaan pasukannya mendidik anak-anak istimewa sehingga mampu berdikari.

Menurut beliau, kejayaan paling kecil bagi seorang guru namun besar pada ibu bapa adalah keterujaan anak-anak istimewa itu datang ke sekolah setiap hari.

"Untuk anak istimewa sebenarnya bukan keputusan 8A tetapi kegembiraan turun dari rumah ke sekolah sudah cukup membanggakan ibu bapa selain melihat anak mereka aktif membuat persembahan di pentas," katanya.

Jelas beliau, selama ini ibu bapa yang mempunyai anak istimewa 'berjuang' kerana mahu memastikan anak mereka melangkah ke sekolah.

Justeru katanya, pendidik yang mempunyai sifat kasih sayang, ikhlas dan bertanggungjawab sudah pasti menggalakkan anak-anak istimewa bersemangat untuk belajar.

Wan Zakaria memberitahu, setiap hari selepas tamat sesi persekolahan, semua guru akan berkumpul dan beliau akan meminta laporan untuk dimaklumkan kepada ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Saya mendekati guru dan bertanya masalah mereka supaya kita selesaikan bersama bagi mengelakkan tekanan selain diwajibkan belajar sistem pengurusan dan memahami kehendak ibu bapa," katanya.

Bagi mengelakkan salah faham dan mengeratkan hubungan antara ibu bapa dan guru, Wan Zakaria tidak membuat grup WhatsApp sebagaimana lazimnya dilakukan guru dan ibu bapa kini, katanya.

"Tiada konsep grup WhatsApp di Bizara kerana sikap ibu bapa tidak sama dan saya percaya akan wujud penilaian negatif terhadap ibu bapa atau guru jika berkomunikasi melalui platform itu," katanya.

Wan Zakaria turut mencadangkan supaya semua guru di taman bimbingan kanak-kanak (tabika) diwajibkan menggunakan khidmat tenaga pengajar lulusan ijazah yang diyakini dapat meningkatkan taraf pendidikan.

Beliau mendakwa sistem tabika di negara ini tidak banyak berubah kerana kekangan kewangan.

"Jangan pertikai bayaran yang dikenakan oleh pengurusan tabika kerana 'sentuhan' pertama pendidikan selain ibu bapa adalah daripada guru tadika dan sudah pasti perlu setimpal bagi memastikan perkembangan terbaik untuk kanak-kanak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!