IOI Properties Group raih RM3.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025

IOI Properties Group Berhad (IOIPG) mencatat pendapatan sebanyak RM3.06 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 (FY2025).
Pencapaian didorong prestasi kukuh segmen Pelaburan Hartanah serta Hospitaliti & Rekreasi yang masing-masing melonjak 46 peratus dan 70 peratus sekali gus mengimbangi kelembapan segmen Pembangunan Hartanah.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IOIPG, Lee Yeow Seng berkata, syarikat berbangga dengan usaha dan komitmen seluruh warga kerja dalam menyumbang kepada hasil memberangsangkan khususnya dalam segmen Pelaburan Hartanah dan Hospitaliti & Rekreasi.
“Walaupun berdepan cabaran dalam persekitaran perniagaan global dan ketidaktentuan perdagangan, kami yakin trend penurunan kadar faedah akan memberi kelebihan kepada syarikat.
“Kami kekal yakin dengan penawaran pelbagai produk di tiga negara, aliran pendapatan berulang daripada portfolio Pelaburan Hartanah selain prospek positif sektor Hospitaliti & Rekreasi, ia menyediakan asas kukuh bagi pertumbuhan mampan pada masa depan.
“Sehubungan itu, kami berbesar hati mengisytiharkan dividen 8.0 sen bagi FY2025,” katanya dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, beliau turut menyatakan, keuntungan sebelum cukai FY2025 susut 37 peratus kepada RM1.45 bilion berbanding RM2.30 bilion yang direkodkan tahun kewangan sebelumnya.
“Prestasi sederhana itu berpunca daripada keuntungan nilai saksama lebih rendah bagi pelaburan hartanah serta kos faedah lebih tinggi susulan bermulanya operasi IOI Central Boulevard Towers.
“Walaupun begitu, pencapaian itu tetap mencerminkan daya tahan syarikat dalam mendepani turun naik ekonomi dan kitaran perniagaan,” katanya.
Menurut Yeow Seng, pada FY2025, bagi segmen Pembangunan Hartanah, jualan mencecah RM1.81 bilion dengan RM1.62 bilion atau 89 peratus disumbangkan oleh projek tempatan manakala projek di China dan Singapura menyumbang RM187.6 juta (11 peratus) daripada jumlah jualan.

Ujar beliau, bagi jualan di Malaysia, Lembah Klang mendahului sebagai penyumbang utama dengan RM946.8 juta, diterajui pembangunan seperti IOI Resort City di Putrajaya dan 16 Sierra di Selangor.
Sementara itu, Johor mencatat jualan sebanyak RM663.8 juta hasil sambutan terhadap perbandaran seperti Bandar Putra Kulai dan Taman Kempas Utama.
Selain prestasi jualan yang mantap, baki inventori siap dibangunkan turut menurun daripada RM1.92 bilion kepada RM1.27 bilion sepanjang 12 bulan lalu.
“Pengurangan adalah hasil usaha terancang syarikat melaksanakan kempen pemasaran bersasar serta penawaran produk strategik.
“Syarikat kekal komited menjana aliran tunai segera daripada inventori ini bagi menyokong projek pembangunan yang sedang berjalan,” katanya.
Pada masa sama, segmen Pelaburan Hartanah terus mencatat prestasi kukuh, disokong oleh pendapatan berulang yang stabil daripada aset pelaburan syarikat, khususnya IOI City Mall dan IOI Mall Puchong.
“Mencerminkan keupayaan syarikat dalam mengoptimumkan operasi pusat beli-belah, IOI City Mall dan IOI Mall Puchong masing-masing merekodkan keuntungan nilai saksama sebanyak RM651.4 juta dan RM61.1 juta.
“Selain itu, IOI City Tower One yang telah mencapai kadar komitmen penuh dijangka menarik lebih ramai pengunjung sekali gus melengkapkan lagi kekuatan aset syarikat di IOI Resort City,” katanya.
Bagi segmen Hospitaliti & Rekreasi, Malaysia mengatasi Thailand buat pertama kali sebagai destinasi utama pelancong di Asia Tenggara dengan menerima kedatangan 16.9 juta pelancong antara Januari hingga Mei 2025 berbanding 16.6 juta di Thailand.
Perkembangan ini turut memberi manfaat kepada majoriti hotel milik syarikat yang merekodkan kadar penginapan lebih tinggi serta purata kadar bilik yang meningkat.
“Melangkah ke hadapan, kemasukan lebih ramai pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dijangka memberi lonjakan kepada segmen Hospitaliti & Rekreasi selain turut mencetuskan kesan limpahan positif terhadap aset pelaburan syarikat," katanya.
Sementara itu, di China situasi ekonomi yang tidak menentu serta ketegangan geopolitik terus menjadi cabaran.
“Namun, Sheraton Grand Xiamen Jimei yang mula beroperasi pada Mac 2025 telah menyaksikan peningkatan kadar penginapan secara beransur-ansur sekali gus mencatat prestasi yang lebih baik,” katanya.
Di Singapura, IOI Central Boulevard Towers terus menunjukkan momentum penyewaan yang kukuh dengan kadar komitmen mencecah 88 peratus.
Pada masa sama, syarikat juga telah memulakan pratonton utama bagi W Residences Marina View – Singapura, ketika pembinaan kekal mengikut jadual dan kini telah mencapai tingkat ke-14.
Ujar Yeow Seng, syarikat baru-baru ini turut mengumumkan cadangan pengambilalihan baki pegangan dalam South Beach, pembangunan mercu tanda yang dibangunkan bersama City Developments Limited, merangkumi South Beach Tower, JW Marriott Hotel Singapore South Beach, serta ruang runcit dan F&B.
“Pengambilalihan ini akan memberikan syarikat kawalan pengurusan dan membolehkan kami memanfaatkan pengalaman luas dalam menguruskan pelaburan hartanah serta keakraban dengan projek tersebut bagi mengoptimumkan lagi operasinya dan membuka potensi penciptaan nilai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

