29 masjid di Kelantan capai taraf lima bintang SPMM

KOTA BHARU – Kejayaan 29 masjid di Kelantan memperoleh penarafan lima bintang tahun ini menjadi bukti keberkesanan perlaksanaan program Standard Penarafan Masjid Malaysia (SPMM), selain menyaksikan lonjakan prestasi luar biasa masjid yang berjaya meningkat daripada satu bintang kepada empat bintang.
Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, pencapaian itu hasil pemantauan dan bimbingan berterusan oleh MAIK bersama pakar rujuk.
“Paling membanggakan, terdapat sebuah masjid yang pada mulanya hanya memperoleh satu bintang, berjaya melonjak kepada empat bintang pada tahun ini.
“Ini bukti jelas kesungguhan jawatankuasa kariah dalam melakukan penambahbaikan yang menyeluruh,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kolokium Penarafan Masjid 2025 di sebuah hotel di sini pada Selasa.
Menurutnya, selain aspek kebersihan dan penyelenggaraan, penarafan SPMM turut menilai keberkesanan program pengimarahan masjid, tadbir urus kewangan, penyertaan masyarakat serta keberhasilan aktiviti dakwah yang dijalankan.

“Masjid bukan hanya tempat solat, sebaliknya pusat peradaban umat Islam.
“Dengan adanya SPMM, kita mahu setiap masjid menjadi mercu tanda kebersihan, disiplin dan pengurusan yang tersusun sekali gus menambah keyakinan masyarakat terhadap institusi masjid,” katanya.
Sistem e-SPMM pantau kualiti masjid
Dalam majlis sama, Tengku Mohamad Rizam turut mengumumkan pelancaran sistem e-SPMM, menjadikan Kelantan sebagai negeri pertama di Malaysia memperkenalkan aplikasi digital khusus untuk pemantauan kualiti masjid secara menyeluruh.
Jelas beliau, sistem baharu itu dibangunkan bagi memudahkan proses penilaian, rekod data dan pemantauan secara lebih sistematik.
“Dengan e-SPMM, laporan penilaian boleh diakses dengan cepat oleh pihak kariah dan MAIK.
“Ini membolehkan kelemahan dikenal pasti lebih awal serta langkah penambahbaikan dilaksanakan segera,” katanya.
SPMM mula dilaksanakan di negeri ini dua tahun lalu dengan penglibatan 615 masjid merangkumi jajahan, bandar dan mukim.

Pada tahun pertama, hanya lima masjid memperoleh penarafan lima bintang manakala selebihnya berada di tahap tiga dan empat bintang.
Jumlah itu terus meningkat setiap tahun hasil pemantauan rapi dan kursus pengurusan yang diberikan, sehingga melonjak kepada 29 masjid tahun ini.
Sepanjang tempoh tersebut, beberapa masjid cemerlang diangkat sebagai model rujukan kepada kariah lain termasuk Masjid Jamek Muhammadi Kota Bharu, Masjid Jamek Al-Sultan Ismail Petra, Kubang Kerian dan Masjid Ayesha, Kok Lanas.
Tengku Mohamad Rizam berkata, MAIK akan terus menyalurkan kursus pengurusan masjid kepada jawatankuasa kariah selain memperkukuhkan kerjasama dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) dalam memastikan kualiti pengurusan masjid kekal konsisten.
Beliau turut berharap agar masjid di Kelantan dapat dijadikan model untuk negeri lain khususnya dalam aspek penggunaan sistem e-SPMM yang diyakini bakal mempercepatkan proses transformasi pengurusan masjid di seluruh negara.
“Insya-ALLAH dengan usaha berterusan ini, setiap masjid akan mampu mencapai sekurang-kurangnya penarafan empat bintang dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
“Ini satu amanah besar kerana masjid ialah jantung kepada pembangunan masyarakat Islam,” katanya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
