Lebih 10 makanan warisan Kelantan hampir pupus akan disajikan September ini

A
A
A

KOTA BHARU - Lebih 10 jenis makanan warisan Kelantan yang semakin pupus akan diketengahkan menerusi Festival Cita Rasa Warisan @ Pantai Timur 2025 (FCRW2025) yang akan berlangsung selama tiga hari bermula 5 hingga 7 September ini di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di sini.

Pengarah Bahagian Warisan Tak Ketara, Jabatan Warisan Negara (JWN), Dr Eyo Leng Yan berkata, antara menu yang bakal disajikan termasuk itik solo, nasi seratus, ros lidah, apam bakar, kerabu beko dan gulai daun kilek.

“Kesemua makanan ini boleh dianggap hampir pupus kerana hanya tinggal golongan berusia sahaja yang mampu menghasilkannya. Jika tiada pewaris baharu, maka makanan warisan ini akan lenyap begitu sahaja.

“Sebab itu dalam festival kali ini, kita mahu tonjolkan semula makanan hampir pupus ini supaya generasi muda dapat mengenali dan mempelajarinya,” katanya pada sidang akhbar FCRW2025 di Hotel Perdana, Rabu.

Beliau berkata, selain penganjuran festival, pihaknya juga akan mendokumentasikan resipi dan proses penyediaan makanan berkenaan agar kekal sebagai rujukan warisan negara.

Katanya, kerajaan telah memperuntukkan RM5 juta melalui Belanjawan 2025 khusus untuk mempromosi dan memartabatkan makanan warisan termasuk penganjuran program di seluruh negara.

Festival itu bukan hanya berlangsung di Kelantan, sebaliknya turut diadakan di Kedah, Sabah, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang dengan negeri ini menjadi destinasi ketiga.

Leng Yan berkata, setakat ini sebanyak 213 makanan telah diiktiraf sebagai Warisan Kebangsaan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005, termasuk nasi kerabu, cek mek molek, jala emas, lompat tikam dan budu dari Kelantan.

“Festival ini juga membawa nostalgia kenduri-kendara yang kian dilupakan generasi kini. Lebih 60 gerai akan menyediakan juadah makanan warisan dari 10 daerah di Kelantan.

Artikel Berkaitan:

“Antara aktiviti menarik ialah persembahan seni budaya tradisional seperti mak yong, wayang kulit, menora, dikir barat dan banyak lagi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!