Al Amber tubuh akademi kulinari mi tarik

Al Amber Group Sdn Bhd, pemilik rangkaian restoran Cina Muslim dari Lanzhou, China bakal bekerjasama dengan universiti di Malaysia bagi menubuhkan akademi kulinari untuk melahirkan usahawan mi tarik tempatan.
Pengasasnya, Ismail Cui Wei berkata, akademi itu akan membuka peluang rakyat Malaysia menguasai seni kulinari mi tarik, sekali gus menjadikannya sebagai kerjaya perniagaan.
“Mi tarik bukan sekadar hidangan kerana ia seni yang memerlukan latihan intensif dan disiplin.
“Melalui akademi ini, kami mahu membangunkan modul latihan bertauliah untuk melahirkan generasi baharu usahawan kulinari tempatan.

“Rakyat Malaysia yang gemar mencuba makanan baharu memberi kelebihan kepada usaha memperkenalkan mi tarik, sekali gus menjadikan pasaran tempatan lebih berpotensi berbanding negara lain di rantau ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berhasrat melahirkan sekurang-kurangnya 2,000 pakar mi tarik dalam kalangan belia Melayu bagi membolehkan mereka menceburi bidang perniagaan tersebut.
“Dari segi teknikal, sukar mencari pakar kerana pembuatan mi tarik memerlukan jurulatih dan pengalaman sekurang-kurangnya tiga tahun.

“Mi tarik mempunyai potensi besar kerana ia diterima masyarakat tempatan, justeru kami mahu berkongsi ilmu dan pengalaman dengan orang ramai. Harapan saya agar industri makanan Cina Muslim terus berkembang di Malaysia,” ujarnya.
Jelas beliau, usaha mengekalkan keaslian rasa Cina sambil memastikan setiap hidangan patuh syariah bukanlah halangan besar.
“Semua pekerja termasuk pemegang saham beragama Islam.
“Dari segi bahan mentah hingga pembekal, proses masakan mematuhi prosedur operasi standard Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. Justeru, pelanggan tidak perlu ragu-ragu dengan status halal kami,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, Al Amber juga bakal membuka cawangan baharu di Shah Alam dan Putrajaya awal tahun depan dengan modal permulaan RM1.5 juta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
