[VIDEO] Orang Kelantan 'kemaruk' kuda, belanja ratusan ribu ringgit demi minat

TUMPAT - Satu masa dahulu, kuda merupakan sukan elit yang dimainkan oleh golongan berada, namun situasi itu sudah berubah hari ini apabila haiwan itu menjadi kegilaan rakyat Kelantan sehingga setiap rumah mempunyai kandang kuda sendiri.
Tidak cukup dengan itu, ada dalam kalangan peminat kuda yang sanggup menghabiskan wang mencecah ratusan ribu ringgit semata-mata mahu memiliki baka terbaik.
Kecintaan terhadap kuda makin subur apabila ia melibatkan seluruh lapisan umur bermula seawal enam tahun hinggalah berstatus warga emas.

Peminat kuda, Zainuddin Abdullah, 50, berkata, hampir setiap kampung di Kelantan mempunyai kandang kuda sendiri untuk menempatkan haiwan tersebut.
Dia yang berasal dari Kampung Kebakat memberitahu, purata setiap kandang itu mempunyai antara empat hingga enam ekor kuda.
Dia sendiri memiliki lapan ekor kuda pelbagai jenis termasuk baka Arab serta Thoroughbred dan minat terhadap haiwan itu bermula sejak dirinya berusia 13 tahun.
“Bela dan bermain kuda merupakan salah satu sunnah Rasulullah. Jadi saya mengambil peluang ini untuk menghidupkan sunnah nabi melalui hobi selain dapat mengeratkan silaturahim sesama peminat.
“Harga seekor kuda pula boleh mencecah RM7,000 hingga RM100,000 bergantung kepada baka. Saya mempunyai lapan ekor kuda dan perlu membelanjakan sekitar RM2,000 sebulan, termasuk makanan asas dua kali sehari serta vitamin,” katanya kepada Sinar Harian.
Dia memberitahu, selain itu hobi ini juga boleh mendatangkan hasil pendapatan melalui pembiakan baka yang menjanjikan pulangan lumayan.

Sementara itu, seorang lagi penggemar kuda, Zukri Che Mamat, 54, dari Kampung Kutan berkata, budaya menunggang kuda di negeri ini bermula sejak tahun 70-an, namun kembali popular sekitar tahun 2000.
“Sekarang ini boleh dikatakan setiap rumah mempunyai dua hingga empat ekor, sama ada baka Arab,Thoroughbred, poni atau kacukan. Nikmat bermain kuda ini semasa kita menunggang haiwan tersebut.
"Cuma risikonya, kuda mudah terkena penyakit seperti colic, laminitis dan jangkitan pernafasan,” katanya.
Ujar Zukri tiga ekor kuda miliknya telah telah mati disebabkan penyakit tersebut dan kini hanya tinggal dua ekor sahaja.
Bagi Mohd Rosdi Ashaari, 42, dari Pasir Mas, minatnya timbul sejak melihat abang dan bapa saudaranya menunggang kuda.
Katanya, setakat ini dia memiliki enam ekor kuda dan harga bagi setiap ekor haiwan berkenaan mencecah RM30,000.
“Cuma isu sekarang, Kelantan tiada tempat khas untuk buat pertandingan kuda. Setakat ini ada di Tendong namun sedang diubah suai jadi trek kekal namun ia adalah milik kepada NGO (badan bukan kerajaan).
“Sedangkan ahli kelab kuda di Kelantan ada lebih 1,000 orang, daripada kanak-kanak, remaja hingga warga emas," katanya.

Mohd Rosdi memberitahu, ramai tidak mengetahui ada anak muda tempatan yang menjadi penunggang kuda di luar negara termasuk di New Zealand, Korea Selatan, China dan Australia.
Ujarnya, bakat mereka itu dicungkil daripada minat bermain kuda sejak usia muda.
Sementara itu, pemilik kandang kuda, Wan Mohd Ridhuan Wan Abdullah, 41, berkata, kuda pertama dimilikinya ketika berusia 18 tahun selepas membeli baka kacukan dari Thailand.
“Saya sukakan perlumbaan dan hingga sekarang masih ada baka kuda yang dikenali sebagai ‘sofa’. Baka ini memang terkenal dalam perlumbaan. Hingga hari ini, baka itu masih juara di trek perlumbaan tempatan.
“Walaupun tiada trek rasmi, kami tetap mengadakan perlumbaan setiap minggu. Ia biasanya dijalankan di beberapa lokasi termasuk Padang Polo Kota Bharu, Kampung Lanchor serta sekitar Tumpat dan Pasir Pekan,” katanya.
Menurutnya, aktiviti lain yang dilakukan seperti memperagakan aksi tunggang di pantai, dalam kawasan kampung serta bendang.
Ujarnya, memelihara dan aktif berkuda bukan sekadar menghidupkan sunnah walaupun kosnya tinggi namun ia memberi kepuasan kepada mereka yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

