[VIDEO] Dua pengawal keselamatan didakwa menyamar anggota polis, lakukan pemerasan

A
A
A

JOHOR BAHRU – Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan di sini pada Selasa atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis serta melakukan pemerasan terhadap seorang lelaki pada 21 Ogos lalu.

Tertuduh, Mohamad Syafiq Zakaria dan Mohamad Sulaiman Ab Rahman, masing-masing berusia 29 tahun, membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Nabilah Nizam dan Majistret Atifah Hazimah Wahab selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa menyamar sebagai anggota polis dengan mengarahkan seorang lelaki dan seorang wanita keluar dari sebuah kereta di Jalan Betik 1, Taman Kota Masai, pada jam 11.30 malam, 21 Ogos lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis serta melakukan pemerasan.
Dua pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyamar sebagai anggota polis serta melakukan pemerasan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latif dan Nik Noratini Nik Azman.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, kedua-dua tertuduh turut didakwa melakukan pemerasan terhadap mangsa sehingga menyebabkan kerugian berjumlah RM2,000.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah rumah di Jalan Duku 14, Taman Kota Masai, pada tarikh dan masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan RM10,000 terhadap setiap tertuduh bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 keseluruhannya dan menetapkan 12 September depan untuk sebutan semula kes, serahan dokumen serta lantikan peguam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!