[VIDEO] UNISEL tekan kerjasama industri, pastikan graduan kekal relevan

A
A
A

SHAH ALAM – Universiti Selangor (UNISEL) menekankan usaha memastikan setiap graduan yang dilahirkan terus relevan dengan keperluan industri dan cabaran masa depan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan kerjasama erat bersama pemain industri serta agensi berkaitan.

Presiden dan Naib Canselor baharu UNISEL, Profesor Emeritus Ir Datuk Dr Hassan Basri berkata, universiti di bawah naungan kerajaan negeri Selangor itu menekankan kemajuan teknologi dan perniagaan seiring dengan pembangunan insan.

Hassan Basri (tengah) diiringi Hussamuddin (kiri) ketika melawat Karangkraf Mall sempena lawatan UNISEL ke Karangkraf - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
Hassan Basri (tengah) diiringi Hussamuddin (kiri) ketika melawat Karangkraf Mall sempena lawatan UNISEL ke Karangkraf - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

“Kerajaan Selangor maju dari aspek material seperti teknologi dan perniagaan, namun dalam masa sama tidak meminggirkan aspek kemanusiaan.

“Justeru, UNISEL akan memberi penekanan kepada kerjasama lebih rapat antara akademia dan industri,” katanya kepada Sinar Harian selepas mengadakan lawatan ke Karangkraf di sini pada Isnin.

Ketibaan beliau disambut oleh Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub. Turut hadir, Timbalan Naib Canselor HEP UNISEL, Profesor Madya Dr Hamdan Mohd Salleh, Pengarah Eksekutif (Korporat, Kewangan & Pengurusan Risiko) Karangkraf, Akmal Eirfan Mohamed Fauzi, Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf, Nik Justin Nik Ariffin serta Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian, Zamri Rambli.

Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (enam dari kiri) bersama Profesor Emeritus Ir Datuk Dr Hassan Basri (tengah) yang mengetuai lawatan UNISEL ke Karangkraf - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Hassan berkata, graduan yang dihasilkan UNISEL perlu sentiasa dekat dengan realiti masyarakat.

“Ini akan dicapai dengan kerjasama lebih rapat antara UNISEL, industri dan agensi berkaitan yang aktif bersama masyarakat. Mereka tahu masalah sebenar masyarakat dan usaha ini memastikan graduan kita kekal relevan dengan kehendak semasa,” jelasnya.

Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Prof Emeritus Ir Datuk Dr Hassan Basri - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR
Pengasas Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Prof Emeritus Ir Datuk Dr Hassan Basri - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI ABD SHUKOR

Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan mewujudkan kolaborasi strategik bersama industri media, khususnya Karangkraf.

“Untuk Karangkraf, kita sudah membincangkan kemungkinan pelajar dalam aliran berkaitan ditempatkan pada tahun akhir pengajian mereka dalam suasana industri.

“Ini membolehkan mereka bekerja sambil belajar melalui kaedah work-based learning yang kini diiktiraf badan akreditasi seperti Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Pendekatan ini membolehkan pelajar memperoleh pengetahuan akademik dan pengalaman kerja secara serentak,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!