Bateri simpanan tenaga: Kunci masa depan tenaga hijau Malaysia

RANCANGAN Malaysia Ke-13 (RMK13) akan menentukan hala tuju pembangunan negara untuk lima tahun akan datang.
Dalam konteks tenaga, satu aspek penting yang wajar diberi tumpuan ialah penggunaan Battery Energy Storage System (BESS), atau lebih mudah difahami sebagai sistem bateri simpanan tenaga.
Apa itu BESS? Ringkasnya, ia ibarat sebuah “bank tenaga”. Bila panel solar menghasilkan lebihan tenaga pada siang hari, tenaga itu boleh disimpan dalam bateri berskala besar.
Apabila malam tiba atau ketika penggunaan elektrik memuncak, tenaga simpanan ini dilepaskan semula untuk menampung permintaan. Hasilnya, bekalan elektrik lebih stabil dan risiko gangguan dapat dikurangkan.
Mengapa BESS penting untuk Malaysia? Negara kita sedang giat mengembangkan tenaga boleh baharu, khususnya solar.
Namun, cabaran utama tenaga hijau ialah sifatnya yang tidak menentu – hanya boleh dijana apabila ada cahaya matahari atau angin.
Tanpa simpanan tenaga, lebihan kuasa mudah terbuang. Di sinilah BESS memainkan peranan, memastikan tenaga yang dijana dapat dimanfaatkan secara optimum.
Malah, kerajaan telah menetapkan syarat baharu bermula 1 Januari 2025: semua pemasangan solar fotovoltaik grid-connected berskala 72 kWp ke atas (bagi sektor komersial dan industri) wajib dipasang bersama BESS sekurang-kurangnya setara dengan kapasiti satu jam.
Contohnya, jika sistem solar dipasang pada kapasiti 100 kWp, maka bateri berkapasiti minimum 100 kWh juga perlu dipasang.
Tujuan utama syarat ini adalah untuk memastikan kestabilan grid nasional, mengurangkan risiko limpahan tenaga, dan menjadikan sistem tenaga lebih berdaya tahan.
Selain menyumbang kepada keselamatan tenaga, BESS juga membawa peluang ekonomi. Malaysia memiliki industri elektrik dan elektronik yang kukuh.
Dengan insentif dan sokongan R&D, kita boleh membina ekosistem tempatan dalam bidang pembuatan modul bateri, sistem kawalan, dan teknologi kitar semula.
Ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan baharu, malah mengurangkan kebergantungan pada teknologi import.
Bagi masyarakat luar bandar dan kepulauan, BESS boleh digabungkan dengan sistem mini grid berasaskan solar, menggantikan generator diesel yang mahal dan mencemarkan.
Komuniti luar bandar akhirnya boleh menikmati bekalan elektrik yang lebih bersih, murah, dan boleh dipercayai.
Namun, kita tidak boleh menafikan cabaran kos tinggi dan isu pelupusan bateri. RMK13 perlu menggariskan insentif cukai, skim pembiayaan hijau, dan dasar kitar semula bateri kebangsaan untuk menjadikan pelaksanaan BESS lebih mampan.
Kesimpulannya, BESS bukan lagi pilihan tambahan, tetapi satu keperluan masa depan. Dengan syarat baharu 72 kWp dan ke atas, jelas bahawa Malaysia sudah melangkah serius dalam agenda tenaga hijau.
Jika RMK13 memberi keutamaan kepada teknologi ini, negara akan lebih bersedia menghadapi cabaran tenaga global dan menuju masa depan yang lebih stabil, hijau dan mampan.
*Ir Dr Mohd Sofwan Mohd Resali ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Felo Penyelidik, Pusat Kecemerlangan Tenaga Boleh Baharu (CERE)
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
