Dulu pancing sampah kini dapat tilapia, lampam

SEREMBAN - Sungai Landak di Ampangan yang dahulunya dilitupi semak samun dan dipenuhi sampah, kini berubah wajah selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan menerusi projek River Front Ampangan (RFA).
Usaha pemulihan sungai sepanjang 300 meter itu bukan sahaja memperindah kawasan sekitar, malah membuka peluang kepada penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti riadah seperti berjoging, memancing dan menggunakan laluan tersebut sebagai jalan pintas ke masjid berhampiran.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberikan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.
“Kawasan ini tiada masalah banjir tetapi dipilih untuk projek RFA kerana ia laluan penting, terutama untuk pelajar dan penduduk ke masjid pada hari Jumaat. Kini, laluan ini boleh digunakan untuk berjoging, memancing dan aktiviti riadah lain,” katanya ketika ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana @Stesen #3 di tebing Sungai Paroi, Ahad lalu.
Tengku Zamrah berkata, sebelum proses gotong-royong dijalankan oleh penduduk, kontraktor pembersihan telah mengangkut sampah termasuk dahan kayu, tayar terpakai, plastik dan botol-botol minuman menggunakan tiga tong roro.

“Gotong-royong pada Ahad disertai lebih 170 peserta pada Ahad lalu pula berjaya mengutip dua tong roro sampah lagi.
“Dulu kalau memancing, dapat sampah. Sekarang Alhamdulillah, sudah ada yang naikkan ikan tilapia dan lampam,” seloroh Tengku Zamrah sambil menzahirkan harapan agar lebih ramai sukarelawan akan tampil membantu menjaga kebersihan sungai secara berkala.
Sementara itu, Pengerusi Bertindak RFA, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar berkata, program pemulihan itu merupakan sebahagian daripada inisiatif Denai Sungai Kebangsaan (DSK) oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Daya Guna Awam.
“Kita bukan sekadar membersihkan sungai, tetapi membuka ruang kepada pembangunan sosio-ekonomi komuniti seperti pelancongan tempatan dan aktiviti ekonomi kecil. Ini juga membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk sekitar,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya penyelenggaraan sungai dijalankan secara lestari, terutamanya di kawasan seperti Kompleks Belia dan Sukan Paroi (Kombes) yang terletak berdekatan.
Jajaran sungai yang terlibat dalam projek RFA ini bermula dari Persiaran Dato Wan, Jambatan Taman Negeri sehingga ke persimpangan Jalan Sungai Landak dan Jalan Sejahtera, berhampiran jambatan Blok C Ampangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

