X

Kindly register in order to view this article
!

10,553 jemaah tabligh diperiksa, 513 positif Covid-19

Maklumat terkini kes pengesanan kluster kes Covid-19 bagi taburan kes Jord Qudama dan Ulama Malaysia 2020 di Masjid Jamek Sri Petaling sehingga semalam. (Sumber: CPRC Kebangsaan KKM).
A
A

SHAH ALAM - Seramai 10,553 ahli jemaah tabligh yang hadir perhimpunan di Masjid Jamek Seri Petaling, baru-baru ini sudah diperiksa.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 4,986 sampel diambil dan 513 disahkan positif Covid-19 sehingga tengah malam tadi.

Menurutnya, daripada jumlah itu seorang jemaah berusia 34 tahun meninggal dunia pada Isnin lalu.

“Kementerian Kesihatan menyeru ahli jemaah tabligh yang belum tampil untuk pemeriksaan segera berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.

Berdasarkan maklumat terkini kes pengesanan kluster kes Covid-19 bagi taburan kes Jord Qudama dan Ulama Malaysia 2020 di Masjid Jamek Sri Petaling sehingga semalam, seramai 10,650 peserta tabligh dikesan membabitkan 40 markas.

Daripada jumlah itu, seramai 10,553 sudah diperiksa dengan 4,986 sampel diambil dan 2,559 disahkan negatif manakala 513 positif.

Katanya, seramai 659 sudah dimasukkan ke hospital manakala 6,627 dikuarantin di rumah masing-masing.

Daripada keseluruhan kes itu, sebanyak 109 dicatatkan di Perlis dengan tujuh orang disahkan positif, Kedah (323 diperiksa, 31 positif), Pulau Pinang (143 diperiksa, 28 positif), Perak (577 diperiksa, 28 positif) dan Selangor (1,924 diperiksa, 40 positif).

Di Negeri Sembilan seramai 262 diperiksa dengan 33 daripadanya positif, Melaka (371 diperiksa, 17 positif), Johor (1,276 diperiksa, 53 positif), Pahang (894 diperiksa, 29 positif), Terengganu (364 diperiksa, 10 positif), Kelantan (614 diperiksa, 28 positif) dan Sarawak (656, 38 positif).

Di Sabah (1,805 diperiksa, 91 positif), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (764 diperiksa, 75 positif) dan Labuan (41 diperiksa, lima positif).


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus