Masjid Jamek Seremban lambang keagungan syiar Islam di NS

Masjid Jamek Seremban masjid tertua di Seremban
Masjid Jamek Seremban masjid tertua di Seremban
A
A
A

SEREMBAN - Kebiasaannya seni bina bangunan di Negeri Sembilan dikaitkan dengan unsur Minangkabau yang mencerminkan sistem Adat Perpatih, namun berbeza dengan reka bentuk bangunan Masjid Jamek Seremban.

Masjid yang berusia lebih 100 tahun itu mirip bangunan yang terdapat di Melaka dan merupakan masjid tertua di Seremban.

Mengikut sejarah, masjid berkenaan diwakafkan bersama oleh Dato Bandar Haji Ahmad Ali dan Sheikh Abdul Rahman Sheikh Safar Alghamdi yang dikatakan antara pendakwah terkenal di Arab Saudi ketika itu.

Allahyarham Sheikh Abdul Rahman Safar antara yang mewakafkan masjid tersebut.
Allahyarham Sheikh Abdul Rahman Safar antara yang mewakafkan masjid tersebut.

Keunikan seni binanya menjadikannya dikagumi ramai sekali gus menjadi tarikan pelancong, malah ia turut didaftarkan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Waris keluarga Sheikh Abdul Rahman Safar iaitu Mohammad Yaser Abdul Rahman, 39, berkata, ramai yang mengatakan masjid itu tertua di Negeri Sembilan, tetapi sebenarnya tertua di Seremban.

Mohammad Yaser menunjukkan gambar Masjid Jamek Seremban yang dahulu.
Mohammad Yaser menunjukkan gambar Masjid Jamek Seremban yang dahulu.

"Kalau ikut dari segi sejarahnya, Allahyarham Sheikh Abdul Rahman Safar telah datang ke tanah Melayu disebabkan pergolakan dan peperangan yang berlaku di tanah Arab pada awal tahun 1900.

"Apabila sampainya ke tanah Melayu, Allahyarham telah berbincang dengan Allahyarham Dato Bandar Haji Ahmad dan bersetuju untuk mewakafkan sebuah masjid di bandar Seremban memandangkan waktu itu tiada masjid di kawasan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, masjid berkenaan telah pun dinaik taraf oleh kerajaan negeri, namun bangunan utamanya tidak terjejas termasuk menara masjid yang dibina pada 1924 yang masih dikekalkan.

Mohammad Yaser menunjukkan menara masjid yang masih dikekalkan
Mohammad Yaser menunjukkan menara masjid yang masih dikekalkan

Uniknya menara masjid terbabit, kata Mohammad Yaser kerana ia dibina serentak dengan tahun kejatuhan Empayar Uthmaniyah, ia sebagai satu simbolik.

"Paling utamanya ialah sejarah Allahyarham Sheikh Abdul Rahman Safar itu sendiri yang merupakan salah seorang pembesar yang membantu Bani Hashim yang menjadi gabenor di tanah Arab ketika itu.

"Sebab itulah masjid ini menjadi antara tarikan pelancong serta menjadi lambang keagungan syiar Islam di Negeri Sembilan," katanya.

Sementara itu beliau berkata, bagi memastikan sejarah itu tidak dilupakan, dia kini dalam proses menyiapkan buku berkenaan masjid berkenaan.

Ujarnya, inisiatif itu juga diambil supaya sejarah mengenainya dapat dihimpunkan serta menjadi bahan rujukan memandangkan ia melibatkan sejarah besar Islam.

"Setakat yang saya tahu, belum pernah ada lagi sebarang manuskrip atau buku berkenaan sejarah Masjid Jamek Seremban.

"Jadi sebagai waris kepada Allahyarham Sheikh Abdul Rahman Safar, saya rasa penting untuk merekodkan segala sejarah mengenai masjid ini supaya ia tidak hilang,"katanya.

Bahagian mimbar Masjid Jamek Seremban.
Bahagian mimbar Masjid Jamek Seremban.

Beliau berkata, bernasib baik kerana turut mendapat kerjasama daripada kerajaan Negeri Sembilan dan Jabatan Muzium Negeri Sembilan.

Antara seni ukir Masjid Jamek Seremban.
Antara seni ukir Masjid Jamek Seremban.