Lindung langkah strategik tingkat perlindungan sosial rakyat - Steven Sim

Steven Sim (dua kiri) melancarkan Penjenamaan Lindung pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung PERKESO di ibu negara pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Steven Sim (dua kiri) melancarkan Penjenamaan Lindung pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung PERKESO di ibu negara pada Jumaat. - FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) melaksanakan penjenamaan baharu dikenali sebagai Lindung sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem perlindungan sosial negara.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, penjenamaan itu bukan sekadar perubahan kosmetik sebaliknya bakal mencetuskan reformasi struktur bagi meningkatkan kecekapan operasi dan keberkesanan dasar keselamatan sosial.

Beliau menzahirkan harapan agar usaha pembaharuan pasca penjenamaan itu akan merangkumi semua fungsi utama pertubuhan tersebut, termasuk perlindungan menyeluruh kepada pekerja.

"Antaranya termasuk fungsi Pusat Rehabilitasi PERKESO, perlindungan 24 jam untuk pekerja dan peningkatan kadar faedah selari dengan keperluan semasa rakyat.

"Kita juga akan meningkatkan kecekapan operasi PERKESO menerusi Rekayasa Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan penggunaan teknologi serta reformasi terhadap kerenah birokrasi," katanya pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung PERKESO di ibu negara pada Jumaat.

Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad; Pengerusi Lembaga PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal; dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Menerusi penjenamaan tersebut, keempat-empat skim perlindungan PERKESO turut diperkenalkan dengan nama baharu, iaitu Lindung Pekerja (Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969), Lindung Kerjaya (Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017), Lindung Kendiri (Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri) dan Lindung Kasih (Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah).

Steven Sim berucap pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung PERKESO di ibu negara pada Jumaat.
FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.
Steven Sim berucap pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan Lindung PERKESO di ibu negara pada Jumaat. FOTO: SINAR HARIAN/ASRIL ASWANDI SHUKOR.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Steven Sim turut melahirkan penghargaan kepada pihak media yang dianggap berperanan besar dalam memastikan mesej perlindungan sosial dapat disampaikan ke seluruh pelosok negara.

"Kita percaya, dengan sokongan media, mesej Lindung dapat menembusi segenap sempadan, termasuk ke kawasan pedalaman dan luar bandar, supaya setiap pekerja mengetahui hak dan perlindungan yang tersedia untuk mereka," ujarnya lagi.

Sementara itu, Subahan berkata, program tersebut bukan sahaja memberikan signifikan yang besar kepada PERKESO, malah merupakan bukti idea dan tekad Menteri Sumber Manusia dalam memperjuangkan perlindungan sosial untuk para pekerja di seluruh negara.

"Harapan kami terhadap penjenamaan semula ini ialah agar tiada sesiapa yang dibiarkan terjatuh tanpa sokongan PERKESO kerana kami percaya setiap rakyat yang memerlukan akan sentiasa ‘dilindungi’, ‘dibantu’ dan ‘diberdayakan’ demi kesejahteraan bersama," katanya.

Beliau menambah, skim berkenaan mencerminkan semangat baharu PERKESO untuk terus dekat di hati masyarakat.

Justeru itu, Subahan meminta 3,731 warga PERKESO di seluruh negara menukar gambar profil WhatsApp masing-masing kepada logo utama Lindung selama tiga hari bermula Jumaat.

"Langkah tersebut bukan sahaja mencerminkan kesepaduan kita, malah turut membantu memperluas penyampaian mesej serta identiti baharu organisasi kepada masyarakat umum," katanya lagi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!