AGC digesa jelaskan pengguguran pertuduhan Adam Radlan - C4 Center

Laporan Sinar Harian berhubung Adam Radlan bebas 12 kes rasuah, AMLA selepas bayar kompaun RM4.1 juta
Laporan Sinar Harian berhubung Adam Radlan bebas 12 kes rasuah, AMLA selepas bayar kompaun RM4.1 juta
A
A
A

SHAH ALAM – Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa memberikan penjelasan lebih terperinci berhubung percanggahan dalam keputusan menarik balik semua pertuduhan terhadap Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) dalam kenyataan berkata, langkah itu penting bagi memastikan wujud alasan kukuh yang membenarkan pengguguran pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

“Selain itu, AGC mesti merangka dan menerbitkan garis panduan pendakwaan yang jelas seperti United Kingdom (UK) ‘Code for Crown Prosecutors’ bagi memastikan prosiding jenayah dijalankan demi kepentingan keadilan dan kewajaran.

“Sekian lama, pendakwa raya telah bergantung pada budi bicara yang terlalu luas sebagaimana diperuntukkan oleh Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu bahawa Peguam Negara ‘hendaklah mempunyai kuasa, boleh dijalankan mengikut budi bicaranya, untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan’.

“Kami berpandangan bahawa keadaan ini tidak boleh diterima dalam mana-mana demokrasi yang berfungsi. Pendakwa raya mesti tertakluk kepada had kuasa dan budi bicara yang seimbang serta perlu bagi memastikan keadilan ditegakkan,” katanya pada Jumaat.

Sebelum ini, Adam Radlan dilepaskan dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu atas 12 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas membayar kompaun RM4.1 juta.

C4 Center dalam kenyataan sama turut mempersoalkan keputusan pihak pendakwaan menerima bayaran kompaun tersebut sebagai penyelesaian penuh bagi semua 12 pertuduhan terhadap Adam Radlan dan memilih untuk menghentikan keseluruhan prosiding terhadapnya.

Ujarnya, tindakan tersebut menimbulkan kebimbangan serius terhadap integriti sistem keadilan jenayah di negara ini dan menunjukkan potensi penyalahgunaan mekanisme penyelesaian luar perbicaraan apabila wujud kekurangan ketelusan serta garis panduan yang tidak jelas.

“Mengkompaunkan kesalahan ialah kaedah penyelesaian luar perbicaraan di mana sesuatu pendakwaan diselesaikan di luar mahkamah.

Artikel Berkaitan:

“Apabila sesuatu kesalahan dikompaunkan, pesalah dibebaskan dan sebarang pendakwaan terhadap mereka bagi kesalahan tersebut dihentikan.

“Penting untuk difahami bahawa seseorang pesalah yang mengkompaunkan kesalahan tidak disabitkan dengan kesalahan itu dan oleh itu tidak akan tertakluk kepada implikasi undang-undang akibat sabitan jenayah,” menurut kenyataan berkenaan.

Tambah kenyataan tersebut, ia merupakan prosedur yang ditetapkan di bawah pelbagai undang-undang seperti Kanun Tatacara Jenayah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA 2001).

“Namun begitu, tidak semua kesalahan boleh dikompaunkan dan di sinilah wujud percanggahan dalam keputusan pihak pendakwaan berhubung Adam Radlan.

“Seksyen 92 AMLA 2001 dengan jelas memperuntukkan bahawa prosedur ini hanya terpakai kepada kesalahan di bawah AMLA 2001, jadi bagaimana pihak pendakwaan boleh menggunakan peruntukan itu untuk membenarkan penarikan balik lima pertuduhan di bawah Seksyen 16 SPRM 2009?

“Ringkasnya, mereka tidak boleh membenarkannya. Keputusan untuk menggugurkan lima pertuduhan menerima atau meminta rasuah itu adalah semata-mata pelaksanaan budi bicara pendakwa raya, tanpa sebarang kriteria atau garis panduan yang jelas,” jelas kenyataan itu.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!