Ikan kelah Tasik Kenyir tidak ghaib

SHAH ALAM – Populasi spesies ikan kelah (Tor tambra) di Santuari Kelah, Tasik Kenyir, Terengganu masih wujud serta berada dalam pemantauan berterusan Jabatan Perikanan (DOF).
Pengarah Perikanan Terengganu, Pang Nyukang berkata, pihaknya mengambil serius dakwaan tular berhubung isu ‘kehilangan’ ikan kelah di santuari berkenaan.
Menurutnya, hasil pemantauan Ketua Unit Perikanan Darat, Rosmawati Md Zali mendapati ikan kelah kini lebih banyak berada di kawasan lubuk semula jadi berikutan perubahan habitat dan faktor cuaca semasa.
“Pemerhatian di lokasi mendapati kawasan pemberian makanan ikan telah mengalami mendapan pasir dari hulu sungai selain penurunan paras air tasik sebagai persediaan tadahan musim tengkujuh.
“Keadaan ini menyebabkan perairan menjadi cetek, manakala cuaca panas dan ketiadaan teduhan semula jadi menjadikan ikan lebih cenderung berlindung di kawasan berair dalam,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Beliau berkata, bagi memastikan kelestarian populasi ikan kelah, Pejabat Perikanan Terengganu akan melaksanakan pemantauan menyeluruh di tapak pada 24 Ogos, selain memperkukuh kerjasama bersama Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) konservasi dan komuniti setempat dalam pengurusan habitat serta pengawalan ancaman.
Tambahnya, ikan kelah dan habitatnya dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 (Akta 317) serta Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988 yang menetapkan larangan menangkap, mengalih atau membunuh ikan kelah tanpa kebenaran bertulis Pengarah Perikanan Negeri.
“Mana-mana individu yang melanggar peraturan ini boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara maksimum enam bulan, atau kedua-duanya sekali di bawah Kaedah 21 Kaedah-Kaedah Perikanan Darat Terengganu 1988,” tegasnya.
Katanya lagi, pihaknya komited memastikan sumber perikanan darat negeri, khususnya ikon Tasik Kenyir itu terus terpelihara demi kesejahteraan ekosistem akuatik dan manfaat ekonomi komuniti setempat.
“Kami menyeru orang ramai agar tidak membuat spekulasi dan segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan.
"Orang ramai boleh menghubungi Pejabat Perikanan Negeri Terengganu di talian 09-616342, hotline 24 jam 09-6163400 atau e-mel ppn_trg@dof.gov.my," katanya.
Terdahulu, kecoh dakwaan kehilangan ikan kelah di Santuari Kelah, Tasik Kenyir sejak Selasa lalu yang menimbulkan tanda tanya apabila spesies tarikan utama itu tiba-tiba ‘lesap’ sekali gus mencetuskan kekecewaan dalam kalangan pelancong yang berkunjung ke kawasan berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
