Isu Jalur Gemilang terbalik di Pontian bukan soal perkauman, hanya kecuaian - Ahmad Maslan

SHAH ALAM - Isu berhubung Jalur Gemilang yang dipasang terbalik di sebuah kedai Pontian, Johor baru-baru ini sedang ditangani oleh pihak berkuasa.
Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kes tersebut bukan soal perkauman, sebaliknya memberi tumpuan dari segi aspek kepekaan, ketelitian dan semangat patriotisme.
"Pelbagai pihak yang berkuasa dan berkaitan sedang mengambil tindakan yang sewajarnya.
"Kebijaksanaan bertindak adalah penting agar perkara yang sama tidak berulang dan berulang lagi.
"Tugas pihak yang berkuasa pula adalah memastikan undang-undang sentiasa dipatuhi," katanya dalam hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial sebuah video berdurasi 33 saat memaparkan insiden Jalur Gemilang dipasang secara terbalik di sebuah klinik pergigian swasta di daerah ini.
Rakaman berkenaan menunjukkan bangunan kedai tiga tingkat yang menempatkan klinik tersebut dengan bendera Malaysia digantung secara terbalik di tingkat dua.
Ujar Ahmad, bendera di bangunan tersebut juga telah dibaiki mengikut keadaan asalnya.
Menurutnya, kejadian berkenaan berlaku disebabkan kecuaian salah seorang pekerja wanita di klinik tersebut, yang secara tidak sengaja melakukan kesilapan ketika memasang Jalur Gemilang.
"Doktor gigi dan pekerja wanita itu telah diambil kenyataan oleh polis.
"Esok pada Khamis, saya akan pergi berjumpa dan berbincang dengan Timbalan Ketua Polis Daerah (OCPD) jam 11.45 pagi di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian.
"Saya sudah bercakap dengan Cawangan Khas (SB) dan juga OCPD yang kini ada urusan keluarga sakit di Kedah," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

