Fitnah jejas institusi, goyah perpaduan

ISU fitnah terhadap Tabung Haji (TH) berhubung kos penjenamaan semula membuktikan betapa mudahnya kepercayaan masyarakat terhadap institusi boleh terjejas apabila maklumat tidak tepat disebarkan tanpa tapisan.
Dakwaan kononnya TH membelanjakan RM20 juta untuk penjenamaan semula jelas memberi gambaran salah, sedangkan angka sebenar hanyalah RM2 juta setahun bagi tempoh tiga tahun.
Perbezaannya cukup besar, namun fitnah tetap lebih pantas tersebar dan dipercayai berbanding penjelasan rasmi.
Apabila maklumat salah berlegar, kesannya bukan sahaja terhadap reputasi TH, malah boleh menghakis keyakinan masyarakat terhadap pengurusan institusi penting umat Islam di negara ini.
Hakikatnya, ancaman fitnah tidak terhad kepada TH sahaja kerana mana-mana institusi berkait agama, kerajaan, keselamatan atau pendidikan juga berisiko berdepan gelombang persepsi negatif akibat dakwaan palsu.
Sebagai contoh, fitnah melibatkan agensi keselamatan mampu menggugat keyakinan rakyat terhadap tahap perlindungan negara.
Jika institusi pendidikan pula diserang, kepercayaan ibu bapa terhadap sistem pembelajaran juga boleh goyah.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan menegaskan mereka yang menyebarkan fitnah perlu bertaubat dan memohon maaf kerana perbuatan itu boleh menggugat keharmonian.
Katanya, fitnah bukan sahaja dosa besar dari segi agama, malah memberi kesan sosial dan politik yang membahayakan kerana mampu menanam bibit kebencian dalam kalangan rakyat.
Dari sudut perpaduan, fitnah mengundang syak wasangka, menimbulkan rasa tidak puas hati dan akhirnya mencipta jurang kepercayaan antara rakyat dengan institusi yang sepatutnya mereka dukung.
Lebih membimbangkan, penyebaran fitnah melalui media sosial kini berlaku tanpa sempadan, menjadikan pengaruhnya lebih luas dan pantas berbanding penjelasan rasmi yang lambat diterima masyarakat.
Dalam keadaan ini, semua institusi negara perlu lebih proaktif mengemukakan fakta tepat dan telus bagi mematahkan fitnah serta mengekalkan keyakinan awam kerana ketelusan komunikasi ialah benteng utama.
Pada masa sama, masyarakat perlu menghayati prinsip tabayyun iaitu menyelidik dan mengesahkan maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya.
Episod fitnah terhadap TH wajar dijadikan pengajaran bahawa menjaga institusi umat dan negara adalah tanggungjawab bersama demi mengekalkan perpaduan serta keharmonian negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
