Isu penjenamaan TH: Penyebar fitnah perlu bertaubat, minta maaf - Zulkifli

TH menjelaskan bahawa peruntukan sebenar bagi proses peremajaan jenama hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun dan bukannya RM20 juta seperti dakwaan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli)
TH menjelaskan bahawa peruntukan sebenar bagi proses peremajaan jenama hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun dan bukannya RM20 juta seperti dakwaan. Gambar hiasan (Gambar kecil: Zulkifli)
A
A
A

PUTRAJAYA – Pihak yang melemparkan tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji (TH) digesa untuk bertaubat dan memohon maaf, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.

Menurutnya, meskipun TH sudah menjelaskan isu penjenamaan semula institusi itu, masih ada pihak yang menyebarkan berita palsu hingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

“Apabila kita mendapat berita, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah tabayun untuk memastikan kesahihan.

“Kepada mereka yang menyebarkan berita palsu dan fitnah, perkara pertama ialah bertaubat.

“Mereka perlu membetulkan fakta, menyatakan keinsafan, bertaubat kepada ALLAH dan memohon maaf kepada pihak yang difitnah,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Agensi Hal Ehwal Agama 2025, di sini pada Khamis.

Tegasnya, tindakan menyebarkan fitnah bukan sahaja memberi kesan buruk kepada institusi Islam itu, malah boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan haji negara yang diiktiraf antara terbaik di dunia.

“Kita mahu hal ehwal Tabung Haji terus cemerlang. Kita dapat saksikan bagaimana Tabung Haji merupakan salah satu, atau mungkin yang terbaik di dunia dari segi pengurusan sekali gus memperoleh Diamond Award,” jelasnya.

Isu penjenamaan TH menjadi polemik selepas Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN–Pengkalan Chepa) di Dewan Rakyat minggu lalu meminta penjelasan berhubung dakwaan kos RM20 juta selain mendakwa tiga firma bukan Islam terbabit dalam projek tersebut.

Bagaimanapun, TH menafikan dakwaan itu dengan menjelaskan bahawa peruntukan sebenar bagi proses peremajaan jenama hanyalah RM2 juta setahun untuk tempoh tiga tahun.

Artikel Berkaitan:

TH menjelaskan bahawa langkah itu penting bagi memperkukuh jenama serta menarik minat umat Islam menabung secara sistematik, selaras dengan perubahan demografi masyarakat Islam di negara ini.

Dalam pada itu, Zulkifli menggesa umat Islam terus menyokong usaha TH dalam memastikan perkhidmatan kepada jemaah haji berada pada tahap terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!