Penjenamaan TH: 'Kalau bukan orang Melayu tapi Islam, teruskan' - Hamzah

Hamzah (tengah) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
Hamzah (tengah) ketika sidang akhbar di bangunan Parlimen pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pembangkang berpendirian tidak membantah penjenamaan semula Lembaga Tabung Haji (TH), namun mempersoalkan syarikat yang dipilih untuk melaksanakan pembaharuan institusi itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan, blok itu tidak mempunyai sebarang isu dengan syarikat bukan Melayu yang menjalankan penjenamaan semula selagi ia dimiliki oleh orang Islam.

"Carilah calon atau syarikat yang faham prinsip Islam, tidak boleh ambil syarikat yang tidak pernah pergi haji langsung.

"Kalau dia bukan orang Melayu, tetapi dia orang Islam, carry on (teruskan). Saya tidak persoalkan tentang mereka Melayu, Cina atau India, tidak.

"Saya persoalkan nak bagi biarlah konsultan itu tahu prinsip Islam, barulah dia boleh bercakap tentang audit, komunikasi dan kaedah 'rebranding' TH," katanya dalam sidang akhbar di bangunan Parlimen, pada Khamis.

Sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, TH melalui proses rundingan terus yang ketat memilih konsortium gabungan syarikat perunding memiliki kepakaran berbeza berdasarkan keperluan khusus untuk menyusun semula strateginya.

Beliau menjelaskan, ia bagi memberi nafas baharu kepada institusi terutama fungsi tabungan bagi menangani kedudukan simpanan yang rendah dalam kalangan pendeposit.

Menurutnya, rundingan terus merupakan kaedah perolehan dibenarkan dalam keperluan tertentu terutamanya bagi perkhidmatan strategik yang memerlukan kepakaran khusus.

Sementara itu dalam sidang akhbar sama, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, penjelasan Mohd Na'im mengenai proses rundingan terus bertentangan dengan amalan yang dibuat oleh TH sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

"Usaha yang kami buat adalah untuk menjaga sensitiviti dan keyakinan pendeposit TH, tetapi yang belaku sebaliknya apabila tindakan kerajaan termasuk jawapan menteri tidak boleh meyakinkan pendeposit.

"Jadi jangan marah kepada pendeposit yang bersuara kerana jawapan yang diberi sebelum ini memang tidak meyakinkan, ditambah dengan hari ini terdedah bahawa kontrak diberi secara tidak sepatutnya kepada syarikat bukan Islam," ujarnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!