'Detik hitam TH 2016 harus dijadikan pengajaran'

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pihak yang menyebarkan maklumat palsu dan memanipulasikan isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH).
Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) menegaskan, kerajaan seharusnya belajar dari kesilapan lalu ketika institusi itu berdepan krisis kepercayaan seperti yang berlaku pada 2016.
"Sekarang ini di group WhatsApp masjid dan kampung, heboh mengenai TH diuruskan oleh orang Cina dan ada yang menghasut supaya pendeposit mengeluarkan simpanan mereka.
“Detik hitam Tabung Haji pada tahun 2016 harus kita jadikan pengajaran, yang mana sehari selepas artikel penghasut bertajuk 'Analisa Kewangan Tabung Haji '2009-2015' tersiar pada 9 Februari 2016.
"Telah berlaku peningkatan pengeluaran luar biasa oleh pendeposit iaitu sebanyak RM41 juta pada 10 Februari diikuti RM49.8 juta pada 11 Februari, RM27.9 juta pada 12 Februari dan dianggarkan nilai keseluruhan yang terlibat sekitar RM500 juta,” katanya ketika bangkit bertanya soalan tambahan ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Khamis.
Menurut beliau, tragedi tersebut telah memberi impak besar kepada TH apabila 3,954 pendeposit telah menutup akaun dan 3,105 lagi telah hilang kelayakan menunaikan haji.
“Tolonglah, jangan rosakkan institusi berkepentingan Melayu dan Islam ini kerana nafsu serakah politik,” tegasnya.
Rentetan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar memaklumkan, aduan serta laporan terhadap kandungan video yang cuba mencemarkan imej TH di media sosial telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Beliau mengakui maklum terdapat beberapa video berlegar di media sosial yang mengajak umat Islam di negara ini untuk keluar daripada menyimpan wang di TH.
"Laporan polis juga telah dibuat ke atas beberapa video yang kita dapati menjurus ke arah hasutan tersebut dan perkara ini kita serah kepada pihak berwajib untuk melaksanakan atau menjalankan siasatan secara adil," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

