Mekanisme SPENT beri peluang kedua bekas banduan

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan Mekanisme SPENT dalam pindaan Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 (Akta 7) bagi memberi peluang kedua kepada bekas banduan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penggunaan amalan terbaik antarabangsa itu membolehkan pengecualian terhadap rekod jenayah tertentu selepas individu terbabit melalui tempoh bebas jenayah.
Walau bagaimanapun beliau menjelaskan, pengecualian tersebut tertakluk kepada syarat-syarat ditetapkan dan jenis kesalahan yang dilakukan.
"Jadi mekanisme peluang kedua ini mengambil kira beberapa amalan baik sebagai penanda aras antarabangsa. Kita semak United Kingdom, Singapura, Brunei dan Australia yang membenarkan pengecualian rekod jenayah tertentu selepas tempoh bebas jenayah serta tertakluk kepada syarat.
"Cadangan ini sekarang, progresnya berada di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan saya bercadang untuk membentangkannya pada sesi Parlimen tahun ini juga.
"Jemaah Menteri juga telah bersetuju dengan cadangan pindaan pada 21 Mei tahun lalu yang secara tidak langsung memberi mandat kepada KDN untuk memulakan proses perundangan," katanya ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu menjawab soalan tambahan Roslan Hasim (PN-Kulim Bandar Baharu) mengenai stigma masyarakat terhadap banduan, Saifuddin Nasution menegaskan, perkara itu memerlukan komitmen bersama termasuk peranan majikan dan komuniti.
Malah beliau menjelaskan, kerajaan tetap menyalurkan sokongan menerusi program pemulihan, latihan kemahiran dan penenmpatan pekerjaan oleh Jabatan Penjara Malaysia .
"Ada yang bila keluar, masyarakat dan keluarga tidak terima. Kita dapatkan pula mereka satu rumah peralihan untuk duduk di situ selama keluarga tidak terima.
"Mereka keluar cari makan, cari nafkah, balik semula. Sepatutnya kerja Jabatan Penjara sudah habis, tetapi kita tetap jaga mereka, di luar daripada skop tanggungjawab kita.
"Jadi kita tidak menunggu kolaborasi dengan jabatan atau agensi kerajaan, kita buat dalam batas keupayaan dan ianya penuh dengan cerita kejayaan," ujarnya.
Ringkasan AI
- Kerajaan akan memperkenalkan Mekanisme SPENT dalam pindaan Akta Pendaftaran Jenayah dan Orang Yang Tidak Diingini 1969 bagi memberi peluang kedua kepada bekas banduan
- Pengecualian rekod jenayah tertakluk kepada syarat-syarat dan jenis kesalahan
- Cadangan pindaan berada di peringkat semakan oleh Jabatan Peguam Negara dan akan dibentangkan di Parlimen tahun ini
- Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan pindaan ini
- Kerajaan menyalurkan sokongan kepada bekas banduan melalui program pemulihan dan latihan kemahiran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


