Covid-19: Pengguna perkhidmatan Rapid menurun hingga 66 peratus

Jumlah pengguna Rapid Bus turut menunjukkan penurunan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, semalam.
Jumlah pengguna Rapid Bus turut menunjukkan penurunan sejak Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan, semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah penumpang yang menggunakan semua perkhidmatan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) secara keseluruhannya menunjukkan penurunan sebanyak 66 peratus susulan Perintah Kawalan Pergerakan bermula semalam.

Difahamkan, perkhidmatan Rapid KL mengalami penurunan sehingga 65.1 peratus, Rapid Penang 50.8 peratus, Perantara MRT sebanyak 75.7 peratus, Rapid Kuantan 62 peratus dan BRT Laluan Sunway sehingga 79.5 peratus.

Ketua Pegawai Eksekutif, Rapid Bus Sdn Bhd, Muhammad Yazurin Sallij berkata, penurunan jumlah penumpang ini membuktikan rakyat Malaysia dan orang ramai sedia bekerjasama untuk mematuhi arahan kerajaan bagi mengekang penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Bagi mereka yang masih bertugas pula, jangan risau kerana perkhidmatan bas Rapid Bus masih beroperasi bagi memenuhi keperluan orang ramai sepanjang tempoh kawalan ini.

"Dengan pengurangan jumlah penumpang, mereka juga dinasihatkan mengamalkan jarak sosial," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac 2020 sehingga 31 Mac 2020 di seluruh negara.

Perintah kawalan selama 14 hari itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Akta Polis 1967.

Mengulas lanjut, Muhammad Yazurin berkata, kakitangan Rapid Bus juga akan menyusun semula kekerapan perkhidmatan bagi Rapid KL, Rapid Penang, Rapid Kuantan, Rapid Manjung, Rapid Kamunting dan BRT Laluan Sunway.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, penurunan kekerapan perkhidmatan berdasarkan permintaan itu adalah secara berperingkat bermula pada 21 Mac 2020 sehingga diumumkan kelak.

"Dalam masa itu Rapid Bus akan sentiasa memantau permintaan dan menasihati penumpang mengenai sebarang perubahan.

"Rapid Bus telah mengambil inisiatif tambahan untuk menggalakkan pelanggan supaya merancang perjalanan mereka dengan bantuan aplikasi web di https://myrapidbus.prasarana.com.my/kiosk," katanya.

Tambahnya, Rapid Bus juga telah meningkatkan tahap pembasmian kuman demi keselamatan pelanggan selaras dengan panduan daripada Perbadanan Kesihatan Dunia (WHO).