Selangor cadang lanjutkan cuti paterniti lebih 7 hari

Anfaal (baju merah) bergambar bersama peserta semasa Karnival Pemerkasaan Wanita 2025 di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 16 pada Khamis.
Anfaal (baju merah) bergambar bersama peserta semasa Karnival Pemerkasaan Wanita 2025 di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 16 pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kerajaan Selangor mahu melihat cuti paterniti dipanjangkan melebihi tempoh tujuh hari sedia ada bagi memastikan kaum bapa turut memainkan peranan menjaga anak baharu lahir.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat, Anfaal Saari berkata, Dasar dan Pelan Tindakan Wanita Selangor 2024-2026 telah menggariskan cadangan itu sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan perkongsian tanggungjawab antara lelaki dan wanita dalam sesebuah keluarga.

“Kalau ikut sekarang, cuti paterniti hanya tujuh hari berbanding 98 hari cuti bersalin untuk ibu, dan ada yang persoal kenapa cuti bapa perlu lama sedangkan bukan bapa yang bersalin.

“Tetapi kita percaya lelaki dan wanita sama-sama bertanggungjawab menjaga anak. Maka ia penting supaya kedua-duanya dapat bersama memberi kasih sayang kepada bayi dan membina keluarga yang lebih bahagia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Karnival Pemerkasaan Wanita 2025 di Dewan Serbaguna Kompleks Kejiranan Presint 16 di sini pada Khamis.

Menurut Anfaal, diskriminasi terhadap wanita di tempat kerja juga dapat dikurangkan jika cuti penjagaan anak dikongsi bersama antara suami dan isteri.

“Bila kedua-duanya bercuti, beban bukan lagi hanya pada wanita. Majikan pun tidak akan bimbang sekiranya wanita yang baru berkahwin atau mengandung memohon pekerjaan,” jelas beliau.

Mengulas mengenai kedudukan wanita di Malaysia, beliau berkata laporan Jurang Gender Global 2025 menunjukkan negara berada pada kedudukan tercorot di rantau Asia Tenggara, terutama dari segi pemberdayaan politik dan penyertaan ekonomi.

“Di Selangor, wakil rakyat wanita masih kurang daripada 20 peratus manakala pemilik perusahaan kecil dan sederhana hanya 20.1 peratus wanita, malah 56 peratus wanita pernah mengalami diskriminasi di tempat kerja.

Artikel Berkaitan:

“Sebab itu, kita wujudkan pelbagai inisiatif seperti Akademi Kepimpinan Wanita, Sidang Wanita Selangor, Career Comeback Programme dan Usahanita Digital untuk memperkasakan wanita,” katanya.

Beliau berkata, perjuangan pemerkasaan wanita bukan hanya untuk wanita semata-mata, sebaliknya demi meningkatkan kualiti hidup seluruh masyarakat.

“Wanita adalah separuh daripada populasi negara dan kalau 50 peratus ini tidak gembira atau keperluan mereka tidak dipenuhi, bagaimana mahu wujudkan masyarakat sejahtera,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!